Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Parkir S’gor: MB pertahan kaitan kerabat diraja
Diterbitkan:  Nov 22, 2025 12:19 PM
Dikemaskini: 4:19 AM

Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari mempertahankan pembabitan kerabat diraja dalam syarikat yang menguruskan parkir negeri, dengan menegaskan kaitan tersebut tidak menghalang mana-mana syarikat swasta daripada menawarkan perkhidmatan atau menjalankan perniagaan dengan kerajaan negeri.

Isu itu timbul susulan laporan mengenai seorang ahli kerabat diraja yang mempunyai kaitan dengan syarikat yang setakat ini menerima tiga konsesi di bawah inisiatif penswastaan sistem parkir jalan Selangor.

Amirudin berkata penilaian terhadap syarikat tidak dibuat berdasarkan hubungan diraja, sebaliknya berdasarkan rekod prestasi dan keupayaan projek yang pernah dilaksanakan.

“Jika syarikat itu mempunyai rekod prestasi yang terbukti, ia bukan satu kesalahan untuk dilantik menguruskan perkhidmatan oleh negeri, walaupun ia mempunyai kaitan dengan kerabat diraja,” katanya seperti dipetik The Star.

Menurutnya, keputusan melantik syarikat dibuat oleh Menteri Besar Incorporated (MBI), bukannya Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN). MBI, tambahnya, hanya menilai prestasi lalu syarikat yang pernah mengendalikan kerja serupa di Johor dan Kuala Lumpur.

“MBI menapis syarikat dengan menyemak prestasi lalu mereka dalam kerja yang serupa di Johor dan kini, di Kuala Lumpur. Ia tidak menyelami butiran seperti pemilik syarikat, dan keputusan itu juga tidak dibuat berdasarkan mana-mana nama diraja yang terlibat,” katanya.

Struktur pemilikan

Semakan Malaysiakini mendapati Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah mempunyai 16.5 peratus kepentingan dalam Selmax Sdn Bhd melalui pegangan Tanah Perwira Sdn Bhd dan Greyscale Holdings Sdn Bhd.

Selmax anak syarikat Itmax System Bhd, yang menguasai 70 peratus sahamnya. Tanah Perwira pula merupakan pemegang saham minoriti yang dimiliki sepenuhnya oleh Greyscale Holdings — syarikat pewaris takhta Sultan Selangor itu memegang 55 peratus kepentingan.

Selmax menerima tiga konsesi SIP bagi MBSA, MBSJ dan MPS manakala MBPJ masih belum memberikan persetujuan.

Dokumen berkaitan urusan SIP ketika ini diklasifikasikan di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972.

MB: Nyahklasifikasi terikat syarat tiga pihak

Sementara itu, Amirudin ketika podcast Keluar Sekejap menegaskan kesediaan untuk menyahklasifikasikan dokumen berkaitan namun memberi amaran proses itu melibatkan sekurang-kurangnya tiga pihak dan mungkin tidak semudah itu.

“Kerana ia melibatkan tiga pihak; kerajaan negeri Selangor, MBI, dan syarikat. Jadi, kerajaan negeri boleh meluluskannya (nyahklasifikasi), tetapi jika syarikat menentangnya… mungkin ada rahsia perdagangan yang terlibat… mungkin ketika itu kita mungkin tidak dapat menyahklasifikasikan,” katanya.

Amirudin juga ditanya hos rancangan Khairy Jamaluddin kalau terdapat permohonan rasmi untuk nyahklasifikasi dokumen berkenaan.

“Tiada permohonan. Sebenarnya, kami mempunyai kebebasan maklumat tetapi mereka perlu mohon. Dan apabila mereka memohon, kita akan meluluskan. Saya akan meminta nasihat penasihat undang-undang,” katanya.

Namun, kenyataan itu bercanggah dengan dakwaan Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung pada 24 Okt yang mendakwa permohonan seorang penduduk untuk mengakses dokumen SIP ditolak kerana ia diklasifikasikan di bawah OSA.

Lee menegaskan permintaan dibuat mengikut Enakmen Kebebasan Maklumat Selangor 2011.

MBPJ belum setuju

Mengulas keengganan MBPJ menerima konsesi tersebut, Amirudin berkata dia memberi ruang kepada ahli majlis tempatan untuk berbincang dan menilai secara rasional.

Katanya Selangor sebagai negeri pintar memerlukan kesalinghubungan dan keseragaman pengurusan di semua PBT.

“Walaupun mereka (ahli majlis dan Datuk Bandar) dilantik oleh kerajaan negeri… saya memberi mereka ruang untuk membuat keputusan yang wajar.

"Tetapi apabila tiba masanya, kerajaan negeri perlu bertindak supaya kita tidak mempunyai kekeliruan dalam pengurusan tempat letak kereta negeri,” katanya.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS