Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Perarakan Indira: Peserta beredar selepas Kula janji atur pertemuan dengan IGP

Berikutan jaminan daripada seorang timbalan menteri, sekumpulan penunjuk perasaan yang menyokong usaha M Indira Gandhi untuk bertemu semula dengan anak bongsunya mengambil keputusan beredar dari Bukit Aman selepas menunggu selama empat jam untuk ketibaan Ketua Polis Negara, Khalid Ismail.

Penunjuk perasaan di sekitar Bukit Aman akhirnya bersurai selepas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) M Kulasegaran memberi jaminan dia akan membantu untuk mengaturkan pertemuan dengan Ketua Polis Negara (IGP)  Khalid Ismail.

Ia selepas penunjuk perasaan bersama-sama M Indira Gandhi menunggu Khalid selama kira-kira empat jam di sana. 

Pengerusi Indira Gandhi Action Team (Ingat), Arun Dorasamy berkata Kulasegaran memberi jaminan dia akan membantu mengaturkan pertemuan dengan Khalid dalam masa beberapa minggu akan datang.

“Tadi ketika polis memaklumkan yang IGP tidak dapat mengadakan pertemuan dengan Indira walaupun pada Disember atau Januari nanti, kami akhirnya mengambil keputusan menghubungi timbalan menteri.

“Kulasegaran maklumkan dia akan bantu mengatur pertemuan dengan IGP dalam masa dua atau tiga minggu lagi, dan berkata dia juga akan menyertai pertemuan itu.

“Kami sambut baik keputusan itu dan buat masa ini, kami akan beri ruang kepada mereka untuk menguruskan proses pentadbiran yang diperlukan,” kata Arun pada sidang media.

Terdahulu pagi tadi, kira-kira 200 orang berhimpun di luar kompleks beli-belah Sogo untuk mendesak pihak berkuasa mengesan Prasana Diksa, yang dibawa lari oleh bekas suami Indira pada 16 tahun lalu.

Mula berkumpul pada jam 10 pagi dan dipantau kira-kira 50 pegawai polis, mereka mula berarak ke Bukit Aman pada 11.15 pagi sambil menolak sebuah stroller yang memuatkan teddy bear milik Prasana — yang dirancang untuk diserahkan sendiri kepada Khalid.

Berucap kepada orang ramai, Indira berkata ini mungkin peluang terakhir untuk dia bertemu semula dengan anaknya.

Antara tokoh yang hadir pada himpunan itu termasuk Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) M Kulasegaran, bekas menteri undang-undang Zaid Ibrahim, bekas pengerusi Bersih Ambiga Sreenevasan, dan Marina Mahathir.

Dalam ucapannya, Marina berkata dia hadir untuk menyokong Indira sebagai seorang ibu.

“Ini isu keadilan… dan ketika agama dijadikan senjata,” tambahnya.

Namun, sebaik tiba berdekatan Bukit Aman, kumpulan itu dimaklumkan bahawa Khalid tidak akan bertemu mereka, walaupun sudah ada surat-menyurat sejak 1 Nov.

“Masalahnya… adakah kamu baca surat saya? Kamu ada salinan? Dalam surat saya, saya sudah jelaskan apa yang kita rancang hari ini… tiada memorandum.

“Sebagai simbolik, kita mahu serahkan teddy bear Prasana Diksa secara peribadi kepada KPN dan dia (Indira) mahu bercakap terus dengan KPN,” kata Arun tadi.

‘Perjalanan 16 tahun’

Indira yang sebak mengingatkan polis bahawa perjuangannya tidak bermula hari ini, tetapi sejak 16 tahun lalu.

“Saya tunggu polis ambil tindakan… selama 16 tahun. Dan kamu tak boleh luangkan masa 10 minit untuk jumpa saya. Kita bukan minta sesuatu yang sukar,” katanya.

Arun pula berkata yang apa yang berlaku hari ini adalah salah dan satu penghinaan kepada badan kehakiman.

“Apa yang berlaku hari ini adalah penghinaan besar. Ia bukan sahaja menghina seorang ibu, tetapi juga mahkamah. Jadi, kami mahu mengingatkan IGP sekali lagi tentang tanggungjawabnya di bawah Akta Polis dan undang-undang Malaysia.

“Tetapi jika IGP fikir ini satu-satunya perarakan dan perkara ini akan berlalu begitu saja, maka dia silap.

“Sehingga kami bertemu IGP, kami akan terus beri tekanan,” tegasnya.

Para peserta mula beredar dari kawasan itu sekitar jam empat petang.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS