Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Johari gesa belia Sabah terus berusaha, nafi turun berkempen

PRN SABAH | Yang di-Pertua Dewan Rakyat Johari Abdul berkata tiada rakyat Malaysia yang dinafikan peluang untuk berjaya, selagi mereka rajin dan berani mengambil langkah mengikut impian mereka.

Bercakap semasa lawatan ke Kampung Kopimpinan di Putatan, Sabah semalam, Johari mengakui ramai belia Sabah bermula dengan padang yang tidak sama rata, namun dia pada masa sama menekankan mereka tetap ada peluang untuk bangkit.

“Tiada siapa di Malaysia, tiada siapa yang dinafikan peluang. Jika anda rajin dan berani bertindak, tiada halangan dalam hidup.”

Johari menyifatkan hal ini sebagai “mobiliti menegak,” iaitu keyakinan bahawa mereka yang “bermula dari bawah” boleh “naik dengan ilmu pengetahuan.”

Apabila ditanya wartawan bagaimana individu boleh mencapai kejayaan di saat kalangan yang memiliki jaringan lebih baik masih mempengaruhi peluang,  Johari berkata perubahan memerlukan usaha berani.

“Kita tidak boleh buat perkara yang sama setiap hari, setiap tahun, dan harapkan keputusan yang berbeza.

“Tinggalkan yang negatif dan ke arah yang positif. Dan akhirnya, anda mesti lengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan,” katanya lagi.

Terdahulu, Johari memberitahu penduduk yang lawatannya tiada kaitan dengan PRN Sabah, dan ia telah dirancang lebih awal.

Ini kali pertama dalam tempoh kebelakangan ini seorang Yang di-Pertua Dewan Rakyat menyertai acara di kawasan pilihan raya diadakan.

Dia menyampaikan mesej kepada kira-kira 200 hadirin, yang terdiri daripada pelajar, nelayan, suri rumah, dan peniaga kecil, bahawa masa depan adalah milik golongan muda.

“Anda akan ambil alih. Negara ini, negeri ini, komuniti ini akan dapat pemimpin baru seperti anda,” katanya.

Potensi Sabah

Menyuarakan pujian berkenaan Sabah, Johari mengimbau perbualannya dengan beberapa warga Rusia yang menganggap Sabah sudah seperti sebuah negara.

“Sabah adalah…sebuah negeri yang hampir ada semua,” katanya, membangkitkan kepelbagaian bentuk muka bumi serta masyarakat yang berbilang etnik namun hidup bersama dengan harmoni.

Dia membandingkannya dengan sebuah negara yang pernah dikunjunginya, yang menurutnyahanya mempunyai “dua warna… hitam dan putih”, namun bergelut dengan ketegangan kaum selama beberapa generasi.

Perbandingan itu halus tetapi jelas – kepelbagaian Sabah adalah kekuatan yang didambakan oleh orang lain tetapi sukar ditiru.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS