Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kes guru ponteng: Tanggungjawab bayar di bahu kerajaan, kata peguam

Peguam Sherzali Herza Asli berpendapat kerajaan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap pembayaran ganti rugi dalam kes guru ponteng tugas di Sabah dan tindakan mengalihkan isu itu kepada plaintif atau peguam mereka adalah suatu kesilapan.

Sherzali yang mewakili plaintif, Rusiah Sabdarin, Nur Natasha Allisya Hamali dan Calvina Angayung berkata, kerajaan sendiri yang memilih untuk tidak membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu itu.

Apabila penghakiman sudah muktamad, katanya, undang-undang meletakkan kewajipan jelas ke atas kerajaan dan Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk mengambil semua langkah perlu bagi memastikan pembayaran – sebanyak RM150,000 – itu dibuat tanpa bertangguh.

“Tidak logik untuk meletakkan beban tersebut ke atas plaintif atau peguam mereka apabila keputusan itu sudah diketahui pihak defendan yang diwakili AGC.

“AGC kalah, memilih untuk tidak merayu, dan kemudian membiarkan lebih dua tahun berlalu tanpa memulakan proses pembayaran.

“Dalam keadaan ini, adalah tidak tepat dan tidak adil untuk menuduh plaintif atau peguam sebagai punca kelewatan. Ia berlaku sepenuhnya akibat kegagalan bertindak oleh kerajaan dan AGC,” kata Sherzali kepada Malaysiakini.

Kenyataan itu dibuat sebagai respon kepada pandangan Peguam Negara, Mohd Dusuki Mokhtar, yang mendakwa peguam plaintif sepatutnya bertanya tentang status pembayaran ganti rugi tersebut.

Sebelum ini, plaintif dan Sherzali menyatakan kerajaan masih belum membayar ganti rugi seperti yang diarahkan mahkamah ketika tiada sebarang permohonan penangguhan atau rayuan difailkan oleh pihak defendan.

Calvina pula berkata faedah lima peratus seperti yang ditetapkan hakim setakat ini sudah meningkat kepada RM17,541.67.

Arahan mahkamah jelas

Sherzali menambah, arahan mahkamah supaya lima peratus faedah dikenakan dibuat untuk memastikan pematuhan dan mengelak ketidakadilan kepada pihak yang menang.

“Faedah ini bukan isu remeh. Oleh itu, menjadi kewajipan AGC untuk memastikan pembayaran segera supaya faedah tidak terkumpul tanpa sebab.

“AGC tidak boleh mengabaikan keputusan mahkamah lebih dua tahun, biarkan faedah naik, kemudian salahkan plaintif kerana tidak mengikuti prosedur dalaman yang tidak pernah dimaklumkan,” katanya.

Tiga bekas pelajar itu sebelum ini mengemukakan saman terhadap kerajaan, Ketua Pengarah Kementerian Pendidikan Malaysia, menteri pendidikan, Pengetua SMK Taun Gusi, Suid Hanapi; serta gurunya – Jainal Jamran – kerana ponteng mengajar.

Mereka menang selepas mahkamah mendapati guru tersebut kerap tidak hadir menjelang peperiksaan Nov 2017 tanpa bukti dia mengambil cuti atau menjalankan tugas lain.

Hakim Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu, Leonard David Shim, mengarahkan RM50,000 dibayar kepada setiap plaintif sebagai ganti rugi nominal dan teruk, serta faedah lima peratus setahun bermula 18 Julai 2023 hingga bayaran penuh diselesaikan.

Mahkamah memutuskan defendan melanggar kewajipan statutori di bawah Akta Pendidikan 1966 dan Peraturan 3C, 25 dan 26 Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.

Sherzali berkata, adalah tidak masuk akal untuk menyalahkan pihak plaintif kerana tidak menghantar borang atau surat tertentu bagi bertanya status pembayaran apabila arahan mahkamah sudah jelas dan tidak dicabar sejak 2023.

“Kewajipan membayar terletak pada pihak yang kalah. Mengatakan plaintif perlu ‘tuntut’ atau ‘memohon’ ganti rugi yang sudah diperintahkan mahkamah bercanggah dengan prinsip asas keadilan.

“AGC tahu keputusan itu dan sepatutnya bertindak segera selepas memilih untuk tidak merayu.

“Tiada apa lagi yang perlu ditanya. Arahan mahkamah sudah jelas. Defendan tahu jumlah yang perlu dibayar dan kepada siapa.”

Menurutnya, tanggapan bahawa rakyat perlu mendesak kerajaan, mengisi borang, atau mengikut prosedur operasi standard dalaman yang kabur sebelum arahan mahkamah dipatuhi adalah antara sebab keyakinan awam terhadap kecekapan institusi negara terus rendah.

Sherzali berkata tindakan membiarkan faedah terkumpul akibat kelewatan birokrasi adalah pembaziran sumber awam dan menunjukkan sikap tidak serius dalam memenuhi kewajipan undang-undang.

“Faktanya mudah: mahkamah tinggi sudah keluarkan penghakiman; kerajaan tidak merayu; maka bayaran mesti dibuat. AGC perlu bertindak segera untuk melunaskan arahan mahkamah dan menyelesaikan kes ini,” katanya.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS