PRN SABAH | Ketika Sabah semakin hampir menentukan masa depannya di peti undi, bekas ketua menteri, Joseph Pairin Kitingan, memberi amaran bahawa negeri itu sedang "sakit" dan "penyakit" yang melemahkannya mesti dikenal pasti serta dibuang sebelum ia lebih buruk.
Bercakap pada sidang meja bulat yang disiarkan oleh NorthBorneoTV dan Sabah Way Forward, Pairin – yang juga pengasas Parti Bersatu Sabah (PBS) – boleh dikatakan figura paling senior di situ .
Dia pernah memimpin parti yang menjadi kerajaan negeri sebelum beberapa pemimpinnya mengorak langkah sendiri – seperti Bernard Dompok – dan menubuhkan Upko.
Sesi itu menghimpunkan personaliti politik yang berakar umbi dari era awal PBS.
Di samping Pairin ialah Benard, Richard Malanjum, Jeffrey Kitingan, pemangku presiden PBS, Joachim Gunsalam, dan Presiden Upko Ewon Benedick.
Walaupun perbincangan kekal sopan, ucapan Pairin membawa nada kegelisahan, dan dia menyentuh aspek pengaruh persekutuan dan hala tuju yang diambil oleh PBS di bawah kepimpinan yang terkini.
Dia juga menggunakan analogi perubatan bagi menggambarkan Sabah yang sedang berdepan masalah.
"Dalam dunia perubatan, jika sesuatu itu perlu dibuang, buangkanlah... Sabah sakit," tegasnya.
Dia turut mengimbau kembali kata-katanya kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim: "Anda adalah ubatnya. Bantu selesaikan masalah Sabah."
Bagaimanapun, kata Pairin, kenyataan dibuatnya kepada Anwar itu tidak membawa sebarang jawapan.
Analogi diberi Pairin itu merujuk kepada isu-isu politik kronik Sabah – daripada ketegangan hubungan di antara persekutuan dan negeri, membawa kepada pembangunan yang terbantut – namun lama tidak dirawat. Dia juga memberi bayangan bahawa menangani masalah tersebut mungkin memerlukan penyingkiran elemen-elemen sistem tertentu.
Selain itu Pairin turut menarik perhatian kepada landskap kempen politik Sabah.
"Anda melihat banyak warna merah. Siapa yang merah? PH, Madani, kuasa persekutuan… mereka mahu terus mengawal kita," dakwanya.
Untuk rekod simbolik itu mengaitkan PH yang berdepan dengan parti setempat dan kehadirannya semakin dirasai dengan kerjasanya yang dijalin dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) – yang turut dianggotai PBS.
Sesekali semasa memberikan pandangan Pairin menjeling tajam ke arah pemangku Joachim yang kini memimpin PBS, sekeali gus memberi bayangan yang dia tidak selesa dengan penjajaran rapat parti tersebut dengan blok persekutuan.
