Aktiviti memandu hujung minggu bertukar mencuit hati apabila bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dan isterinya, Dr Siti Hasmah Ali, keluar bersiar-siar menaiki sebuah Toyota iQ putih dua pintu, lengkap dengan nombor pendaftaran nakal “APA 100”.
Dalam video berjudul “Weekend Cruising” yang dimuat naik ke Facebook, Siti Hasmah memegang anak patung bernama “Bambi”, kelihatan sedikit gelisah ketika suaminya yang berusia 100 tahun itu mengambil tempat di sisi pemandu.
“Kita nak pergi jalan-jalan,” katanya kepada Bambi, sebelum bertanya kepada Mahathir sama ada kereta itu “elektrik atau petroleum” dan Mahathir menjawab ia bukan kereta elektrik.
Ketika Mahathir bersedia memulakan pemanduan, Siti Hasmah segera menegur sambil menghulurkan tangan, memintanya supaya memegang stereng.
Mahathir pula melepaskan tangannya sepenuhnya sambil melambai, lalu berkata “tak perlu” berbuat demikian.
Apabila Siti Hasmah meminta Mahathir membelok, dia berseloroh sambil tersenyum:
“Ini tak payah pusing, dia pusing sendiri.”
Pasangan itu kemudian meneruskan pemanduan sebelum berhenti di Warong Din, dengan para peminat yang berada di sana menerima kejutan apabila berpeluang bertemu mereka, bergambar dan mendapatkan autograf.

Ketika memandu, Mahathir juga sempat bertanya jika isterinya selesa dan menunjukkan sebuah kereta api yang sedang melalui kawasan tersebut.
Mahathir dan Siti Hasmah telah mendirikan rumah tangga hampir tujuh dekad. Siti Hasmah setahun lebih muda daripada Mahathir; mereka ke jinjang pelamin ketika usianya 30 tahun manakala Mahathir ketika itu berumur 31 tahun.
Dalam wawancara pada 2018, selepas Mahathir kembali menjadi perdana menteri buat kali kedua, Siti Hasmah mendedahkan Mahathir tidak pernah bercakap mengenai politik dengannya kerana tidak mahu dia bimbang dan dia sendiri sentiasa menjauhi politik.
Siti Hasmah pada 2015 turut berkongsi bersama Malaysiakini bahawa walaupun mereka sesekali bertengkar, kasih sayang tetap mengikat hubungan mereka.
"Salah satu perkaranya kamu mesti saling mencintai antara satu sama lain, kamu mesti perbaharui ikrar cinta kamu, kamu luahkan kasih sayang antara satu sama lain, dengan cara lain bukan lagi seperti pasangan muda yang begitu romantik. Kamu mesti buat untuk pastikan kamu masih sayang dia dan dia masih sayang kamu.”
“Saya percaya pada suami saya dan beliau percaya pada saya. Ia akan permudahkan kerana sebagai doktor terutamanya, kamu berjumpa orang ramai tidak kira jantina, lelaki, perempuan, jadi kamu mesti percaya suami kamu. Kamu mesti benarkan beliau bebas. Dan ketiga bertolak ansur dan bertimbang rasa.”
“Jika ada masalah seperti itu (pergaduhan), terus pergi kepada puncanya dan selesaikan. Jangan biarkan berlalu dua tiga hari tanpa bercakap. Dalam Islam pun tak boleh kan. Dalam agama kita kalau tidak bercakap satu sama lain lebih tiga hari berdosa.”
