Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Sabah terbelah: Kota tuntut 40%, desa risau isu asas

PRN SABAH | Ketika pilihan raya negeri Sabah memasuki pertengahan tempoh kempen, dua perbualan berbeza semakin jelas kelihatan di seluruh negeri.

Di bandar, perdebatan dikuasai kemarahan mengenai hak tuntutan hasil 40 peratus. Di kawasan pedalaman, pengundi kurang memikirkan keputusan mahkamah dan lebih bercakap tentang jalan, rumah dan usaha mengekalkan anak-anak mereka daripada berhijrah.

Di kerusi bandar seperti Kota Kinabalu, Sandakan dan Tawau, rasa tidak puas hati kembali memuncak sebaik sahaja kempen bermula.

Ramai masih tidak berpuas hati kerana Putrajaya memilih untuk memfailkan rayuan separa terhadap sebahagian penghakiman dalam keputusan Mahkamah Tinggi, meskipun pemimpin pusat berulang kali menegaskan bahawa mereka tidak mencabar hak Sabah ke atas 40 peratus tersebut.

Namun, penjelasan itu langsung tidak meredakan keadaan.

Remehkan kemarahan Sabah

Pada 17 Okt, Mahkamah Tinggi memutuskan kerajaan persekutuan gagal membayar Sabah dari 1974 hingga 2018. Penemuan itu sahaja sudah cukup untuk menguasai perbualan dalam talian sebelum hari penamaan calon.

Lawatan Perdana Menteri Anwar Ibrahim ke Sabah beberapa hari sebelum penamaan calon juga tidak banyak mengubah mood atau membantu Pakatan Harapan.

Klip pendek lawatannya di Gaya Street pada Ahad menunjukkan Anwar berkata kepada seorang lelaki:

"Jangan dengar kempen orang, dengar saya, saya PM... berapa hasil kita kutip dari Sabah? Saya beritahu, RM10 bilion. Berapa kita bagi kepada Sabah? RM17 bilion."

Video tersebut pantas tular. Walaupun niatnya untuk menjelaskan namun ramai rakyat Sabah berpendapat nada itu kedengaran tidak sabar, selain kelihatan mengelirukan antara perkongsian hasil perlembagaan dengan perbelanjaan pembangunan persekutuan.

Detik itu menguatkan lagi perasaan yang lama terpendam — bahawa pemimpin pusat masih tidak memahami kedalaman rasa tidak puas hati Sabah.

“Kami sudah mendengar selama 60 tahun,” tulis seorang pengguna Facebook — ayat yang kemudian merebak ke kelompok WhatsApp.

Ketegangan meningkat lagi apabila Upko tiba-tiba keluar dari PH pada hari yang sama kitaran berita itu berlangsung. Perletakan jawatan presiden Upko, Ewon Benedick, dan tindakan membawa keluar partinya menjadi antara isu paling hangat minggu itu.

“Ia terasa seperti tembakan amaran kepada Putrajaya,” kata satu mesej tular manakala mesej lain menggambarkan tindakan Ewon sebagai “pendirian untuk maruah Sabah”.

Gabungan klip Gaya Street dan penarikan diri Upko menguatkan persepsi bahawa Putrajaya masih gagal membaca denyut nadi Sabah, khususnya mengenai hak negeri dan isu 40 peratus tersebut.

Dua Sabah yang berbeza

Di pedalaman dan Pantai Timur, nadanya jauh berbeza. Tambunan, Kinabatangan, Tawau dan Sandakan kekal fokus pada isu-isu seharian.

Pengundi bercakap tentang jalan rosak, bantuan perumahan yang tersangkut, infrastruktur asas yang daif, serta penghijrahan besar-besaran anak muda ke bandar atau ladang.

Peluang pekerjaan pula terlalu sedikit. Ramai belia beralih kepada ekonomi 'gig' dengan kerja penghantaran atau e-hailing, pendapatan mereka hanya sedikit melepasi paras B40.

Keningau menjadi pengecualian. Sebagai bandar pedalaman paling maju, ramai belia lebih suka bekerja di ladang getah atau sawit kecil kerana pendapatannya lebih baik berbanding kerja di bandar.

“Lebih baik menoreh daripada pergi KK. Hidup di sini lebih murah,” kata Kautis Robert, penyapu jalan dan penoreh sambilan yang menyara sembilan anak.

Isu sama muncul di Kinabatangan dan Segama, dengan penduduk bercakap tentang masalah terputus hubungan semasa banjir dan ambulans yang mengambil masa berjam-jam — kadang-kadang langsung tidak muncul.

Di Sandakan, bandar pelabuhan yang pernah sibuk, suasana kini perlahan. Pasar dipenuhi warga emas, manakala anak muda sudah meninggalkan bandar.

“Tiada apa untuk kembali,” kata Eusoofe Musrin, 20, pemandu Grab yang pernah mencuba bekerja di ladang tetapi berhenti kerana perjalanan pergi balik mengambil masa dua jam.

Apa perlu dibuat ahli politik?

Sepanjang minggu, calon berdepan campuran keluhan lama dan ketegangan baru.

Ketua menteri sementara Sabah, Hajiji Noor, memberitahu penyokong bahawa GRS telah membuktikan pencapaian sepanjang lima tahun — peningkatan rizab negeri, rekod bantuan pendidikan, serta kenaikan hasil minyak dan gas daripada Petronas.

“Ini kejayaan dan rakyat perlu mengiktirafnya,” katanya.

Hajiji juga menolak dakwaan rasuah, termasuk video tular yang mengaitkan GRS dengan kepentingan perlombongan, menggambarkannya sebagai serangan politik berniat jahat.

“Rasuah apa? Semua tuduhan ini bermotif jahat,” katanya.

Warisan pula mendakwa menghadapi pemantauan luar biasa daripada SPR. Naib Presidennya Junz Wong berkata pegawai SPR “memantau Warisan dengan lebih rapat daripada biasa”, mengikuti calon dengan kamera dan mengeluarkan amaran meskipun acara mendapat kelulusan polis.

Pertelingkahan lain terus muncul. Di Api-Api, calon PH Thonny Chee ditekan untuk menjelaskan jika dia benar-benar seorang peguam selepas laporan media mempertikaikan kelayakannya.

Di Likas pula, Presiden SAPP Yong Teck Lee menuduh menteri sementara merangkap ketua DAP Sabah, Phoong Jin Zhe mengabaikan Sabah Trade Centre (STC) yang dirasmikan pada 1997 dan mula terbiar ketika permulaan pentadbiran GRS pada 2020.

Di Pintasan, bekas ketua Pemuda GRS Fairuz Renddan menafikan tuduhan mengambil komisen projek, menyifatkan dakwaan itu sebagai “isu murahan” dan “berniat jahat”.

Sementara itu, janji pembangunan terus diumumkan - dengan ikrar DAP membina kompleks sekolah RM260 juta di Pulau Gaya, atau naik taraf pelancongan di Darau, hingga janji infrastruktur di Kunak, Bongawan dan Sungai Sibuga.

Pengundi kini lebih skeptikal

Walaupun banyak janji diumumkan, pengundi mempersoalkan sekiranya masalah lama Sabah—jalan buruk, air dan elektrik kerap terputus, banjir dan tanah runtuh—boleh diselesaikan selepas tertangguh puluhan tahun.

Bencana tanah runtuh pertengahan September lalu meragut 13 nyawa, mengingatkan betapa seriusnya isu asas ini.

Dengan hari pengundian pada 29 Nov, persoalan utama kekal: Naratif mana yang akan menguasai perbualan dan adakah ia cukup kuat untuk menentukan siapa yang bakal membentuk kerajaan Sabah?

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS