Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Fahmi Reza ke balai lagi, dipanggil polis pasal Kelas Demokrasi
Diterbitkan:  Nov 23, 2025 5:40 PM
Dikemaskini: 9:40 AM

Aktivis dan pereka grafik Fahmi Reza berkata dia dipanggil sekali lagi oleh Ibu Pejabat Polis Bukit Aman berhubung siri siaran langsung TikTok “Kelas Demokrasi” yang diadakannya menjelang pilihan raya negeri Sabah ke-17.

Melalui kenyataan di Facebook hari ini, Fahmi memaklumkan dia akan disiasat berhubung satu video tertentu yang menerangkan secara teori bagaimana pengundi boleh memilih wakil rakyat yang akan membawa usul untuk menyingkirkan Yang di-Pertua Negeri Sabah, Musa Aman.

“Tengahari tadi aku terima notis dari polis jenayah Bukit Aman. Aku diarahkan untuk hadirkan diri esok untuk disoalsiasat berhubung video Kelas Demokrasi bertajuk "Bolehkah TYT Musa Aman dipecat?" yang aku upload di FB dua hari lalu. Aku disiasat polis bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan, Akta Sakit Hati (Seksyen 233 AKMM) dan Seksyen 504 Kanun Keseksaan.

Walaupun Kelas Demokrasi selalu kena sekat dan kena banned online dan offline sebelum ni, ini first time aku kena panggil polis sebab Kelas Demokrasi.

Kepada pihak polis, macam biasa, kalau korang roger, aku pasti datang. Kita jumpa esok,” katanya.

Fahmi menjelaskan bahawa video Kelas Demokrasi itu dibuat untuk mendidik pengundi baru menghadapi PRN Sabah yang ditetapkan pada 29 Nov.

Katanya, dia turut menjalankan usaha sama sebelum ini bagi mendidik pengundi baru dalam PRU15 pada 2022 dan pilihan raya negeri Ogos 2023.

Aktivis itu memaklumkan bahawa dia masih menunggu pengesahan sama ada siasatan dibuat di bawah Seksyen 4 Akta Hasutan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

Fahmi mengesahkan dia akan hadir ke Bukit Aman esok namun menegaskan tidak akan menghentikan misinya untuk mendidik masyarakat.

“Kepada pengundi-pengundi baharu, walaupun aku dah kena panggil polis, aku tak akan berhenti buat sesi Kelas Demokrasi setiap malam di TikTok, sebab dalam negara demokrasi, rakyat adalah boss,” katanya.

Secara teori memang boleh

Dalam video tersebut, Fahmi menerangkan bagaimana Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah secara teori boleh menyingkirkan Yang di-Pertua Negeri jika majoriti dua pertiga bersetuju meluluskan usul berkenaan.

Dia turut menerangkan bahawa usul yang diluluskan itu kemudiannya boleh dibawa untuk pertimbangan perdana menteri, ketua menteri, dan Yang di-Pertuan Agong.

“Dalam pilihan raya akan datang, pengundi Sabah boleh memilih calon yang bersetuju menyingkirkan Musa jika mereka dipilih. Tapi daripada 569 calon bertanding, siapa yang berani buat begitu?” katanya dalam video itu.

Tahun lalu, aktivis itu ditahan dan disiasat atas dakwaan hasutan kerana menggantung karya karikatur menggambarkan Musa sebagai “Sabah’s Number One Corruptor”.

Karikatur itu memaparkan Musa dengan tanjak istiadat sebagai Yang di-Pertua Negeri Sabah, sambil menggigit wang kertas RM100.

Pada 29 Mei lalu, Fahmi dihalang daripada memasuki Sabah dan dihantar pulang sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu.

Aktivis itu masih disekat daripada memasuki Sabah.

Pada Jun, Fahmi juga tersilap dikenakan sekatan untuk meninggalkan negara, yang kemudian dijelaskan oleh Jabatan Imigresen sebagai “kesilapan” kerana sekatan perjalanan itu hanya terpakai untuk Sabah.

Dia kemudian memfailkan tindakan undang-undang terhadap pihak berkuasa, menuntut pampasan.

Pelantikan Musa sebagai Yang di-Pertua Negeri tahun lalu dianggap sangat kontroversial kerana rekod pertuduhan rasuahnya sebelum ini.

Pada 2018, Musa dikenakan 46 pertuduhan jenayah berkait kontrak konsesi balak di Sabah.

Namun, dia dibebaskan sepenuhnya selepas pendakwaan menarik balik kes itu pada Jun 2020.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS