Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kok kesal IGP tak hadir terima patung beruang anak Indira
Diterbitkan:  Nov 23, 2025 8:11 PM
Dikemaskini: 12:11 PM

Ahli Parlimen DAP Teresa Kok meluahkan kekecewaan terhadap Ketua Polis Negara (KPN) Khalid Ismail kerana tidak hadir sendiri untuk menerima teddy bear yang dibawa N Indira Gandhi, walaupun kumpulan itu jelas menyatakan hasrat melakukan simbolik penyerahan selepas perarakan protes ke Bukit Aman.

“Ketiadaan beliau menimbulkan persoalan serius tentang keikhlasan institusi ini terhadap kes tersebut,” katanya melalui kenyataan kepada Malaysiakini.

Walaupun Kok mengakui polis membenarkan perhimpunan itu berlangsung dengan aman namun menegaskan kelulusan berhimpun tidak menghapuskan kegagalan bertahun-tahun dalam usaha mengesan anak Indira, Prasana Diksa, atau melaksanakan keputusan Mahkamah Persekutuan.

Ahli parlimen Seputeh berkata dia teguh bersama Indira dan semua yang menyertai perarakan itu.

Katanya 16 tahun merupakan tempoh “terlalu lama untuk mana-mana ibu menunggu”, sambil menyifatkan sebagai memilukan apabila Indira masih perlu turun ke jalan raya semata-mata untuk didengari.

“Gambaran Indira memegang teddy bear anaknya yang digenggam erat lebih sedekad adalah peringatan jelas bahawa di sebalik kes ini terdapat kedukaan seorang ibu yang tidak pernah berakhir.

"Tiada ibu bapa sepatutnya menanggung ketidakpastian begini sementara institusi gagal memberi penyelesaian,” katanya.

Penderitaan Indira bermula pada 2009 apabila bekas suaminya, kini dikenali sebagai Riduan Abdullah, menukar agama tiga anak mereka secara unilateral kepada Islam dan menculik anak bongsu mereka, Prasana, yang ketika itu baru berusia 11 bulan.

Indira tidak pernah menemui anaknya sejak itu, meskipun Mahkamah Persekutuan pada 2018 membatalkan penukaran agama anak-anak tersebut dan mengarahkan ketua polis negara menangkap bekas suami Indira kerana ingkar arahan Mahkamah Tinggi untuk memulangkan Prasana.

Kok berkata isu ini tidak lagi sekadar persoalan undang-undang, tetapi krisis kemanusiaan — melibatkan seorang kanak-kanak, penderitaan seorang ibu dan kegagalan berulang institusi dalam menguatkuasakan perintah mahkamah serta menegakkan keadilan.

Ahli parlimen DAP itu turut mengalu-alukan jaminan daripada rakan partinya, Timbalan Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi M Kulasegaran, yang berusaha mengatur pertemuan antara ketua polis negara dan Indira dalam tempoh tiga minggu.

“Jika pertemuan itu tidak berlaku dalam tempoh yang dijanjikan, rakyat Malaysia berhak menuntut pertanggungjawaban yang lebih tegas daripada kepimpinan polis,” katanya.

Kok menegaskan kes Indira kini melambangkan lebih daripada sekadar kehilangan seorang anak — ia mencerminkan keyakinan rakyat terhadap kedaulatan undang-undang dan sama ada institusi negara boleh dipercayai untuk menegakkan keadilan tanpa takut atau pilih kasih.

“Mahkamah Persekutuan telah menyatakan dengan jelas, namun perintahnya masih tidak dikuatkuasakan selepas sekian lama.

“Saya mendesak KPN dan kepimpinan tertinggi PDRM supaya bertemu Indira secara peribadi, bagi menunjukkan sifat ihsan, tanggungjawab, dan keseriusan yang sewajarnya terhadap kes ini,” katanya.

Jumaat lalu, Mahkamah Tinggi Ipoh mengarahkan polis menjalankan pencarian di seluruh negara terhadap bekas suami Indira.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS