Seorang pakar dalam sistem pengurusan panggilan kecemasan perubatan menggesa pihak berkuasa menguji terlebih dahulu sistem NG MERS 999 (Next Generation Malaysian Emergency Response Services 999) dalam persekitaran “sandbox” sebelum diguna pakai di seluruh negara.
Sambil mengakui manfaat teknologi canggih dalam mengurus panggilan kecemasan perubatan dan penghantaran ambulans, Dr Sarah Shaikh Abdul Karim menegaskan, asas utama yang perlu diberi penekanan bagi setiap panggilan ialah ia mesti disambungkan kepada pusat tindak balas.
Aspek itu, katanya, mesti dipastikan berfungsi dengan betul ketika peralihan kepada sistem baru dilaksanakan oleh agensi terlibat.
“Semua sistem nombor kecemasan nasional ada pelan gantian untuk elak panggilan terputus.
“Asasnya, apabila anda dail 999, anda mesti disambungkan kepada pusat respons kerana itu adalah petunjuk prestasi kritikal bagi Nombor Kecemasan Nasional,” kata Sarah yang pernah berkhidmat di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebagai penyelaras kebangsaan MERS sebelum bersara awal tahun ini.
Malaysiakini menghubungi Sarah untuk mengulas pelaksanaan NG MERS 999 yang berdepan dengan pelbagai masalah teknikal sejak ia mula beroperasi pada 16 Nov lalu sehingga memaksa kerajaan kembali menggunakan sistem lama.
Media sosial sebelum ini dipenuhi rungutan orang ramai yang mendakwa panggilan ke talian kecemasan 999 tidak dapat ditembusi, manakala ambulans pula dihantar ke lokasi yang jauh dan di luar kawasan sepatutnya.
Pembangun dan pengendali sistem itu, Telekom Malaysia Bhd (TM), menyalahkan gangguan berkenaan kepada lonjakan mendadak jumlah panggilan yang diterima – kebanyakannya berupa gangguan atau panggilan palsu.
Kerajaan kemudian menubuhkan jawatankuasa bersama yang melibatkan KKM dan Kementerian Komunikasi untuk meneliti semula aspek teknikal dan operasi NG MERS 999.
Mengulas lanjut, Sarah berkata, berdasarkan aduan dan insiden yang tular di media sosial, NG MERS 999 juga kelihatan berdepan masalah pada peringkat algoritma.
“Dengan sistem Next Generation, dispatcher sepatutnya dapat lokasi pemanggil (geolokasi) yang lebih tepat dan panduan yang lebih baik tentang ambulans mana yang paling hampir dan paling sesuai untuk dihantar.
“Berdasarkan perbualan di media sosial, nampaknya ada ralat pada algoritma, khususnya dari segi geofencing atau sempadan maya.
“Algoritma ini memerlukan kerjasama mendalam antara pasukan KKM dan pengaturcara NG MERS 999 untuk memahami kerumitan dan sifat operasi ambulans yang sentiasa berubah (dynamic).
“Paling penting, kena betul-betul faham bahawa tiada satu penyelesaian yang sesuai untuk semua dalam operasi ambulans. Algoritma geofencing sangat bergantung kepada setempat dan berbeza antara negeri, antara daerah dan antara kampung,” katanya.
Dia yang kini menjadi pensyarah kanan di Universiti Pengurusan dan Sains (MSU) itu percaya wujud ketiadaan unsur pengesahan manusia apabila ambulans dihantar berdasarkan algoritma, dan menggesa pihak berkuasa turut melibatkan pihak berkepentingan dalam pemetaan operasi dan geofencing perkhidmatan ambulans.
Selepas itu, katanya, perlu ada simulasi menyeluruh untuk memahami keupayaan setiap kawasan menangani situasi lonjakan kes.
“Kita jangan sekali-kali memandang rendah pengetahuan tempatan. Kaji semula algoritma dan pastikan ia mematuhi garis panduan perubatan berhubung kecerdasan buatan.
“Buat banyak simulasi sampai ke tahap senario lonjakan yang pernah dialami. Lepas itu barulah jalankan sandbox,” kata Sarah – merujuk kepada amalan menguji program atau aplikasi dalam persekitaran terpencil bagi mengurangkan kegagalan.
Berkongsi pengalamannya ketika mengendalikan versi lama MERS 999, doktor itu berkata pelaksanaan sistem tersebut dibuat secara berfasa.
Bagi perkhidmatan ambulans, katanya, pelaksanaan bermula dengan tujuh pusat di Lembah Klang untuk ujian perintis sebelum dikembangkan ke seluruh negara dalam tiga fasa, yang membolehkan pasukannya belajar, menambah baik dan mengemas kini sistem dari semasa ke semasa.
