PARLIMEN l Kerajaan memberi penekanan terhadap pembangunan kemahiran dan pengukuhan modal insan sebagai strategi utama dalam usaha menoktahkan kemiskinan tegar di negara ini, kata Timbalan Menteri Ekonomi Datuk Hanifah Hajar Taib.
Beliau berkata usaha membasmi kemiskinan tegar berdepan cabaran kerana isu kemiskinan bersifat dinamik, dengan status isi rumah yang berubah mengikut keadaan semasa.
Hanifah Hajar menjelaskan, walaupun ada isi rumah yang berjaya keluar daripada kemiskinan, masih terdapat isi rumah lain yang kembali terjejas akibat faktor seperti kematian pencari nafkah, kehilangan pekerjaan atau bencana alam.
“Terdapat juga segelintir isi rumah miskin yang kurang kemahiran untuk dipadankan dengan keperluan pasaran kerja semasa, menjadikan mereka mudah terjerumus kembali ke dalam kitaran kemiskinan.
“Justeru, kerajaan menekankan pembangunan kemahiran dan modal insan, termasuk melalui Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), sebagai pelengkap kepada sistem sokongan sosioekonomi bagi golongan sasar,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Muhammad Fawwaz Mohamad Jan (PN-Permatang Pauh) yang ingin tahu usaha kerajaan menoktahkan kemiskinan tegar serta halangan menyebabkan sasaran tersebut masih belum dicapai.
Mengulas mengenai penilaian data e-Kasih, Hanifah Hajar berkata pangkalan data tersebut sentiasa melalui proses pemutihan secara berkala bagi memastikan ketepatan serta membolehkan pendekatan intervensi yang lebih efektif.
Beliau menegaskan usaha itu memerlukan perhatian serius kerana data kemiskinan bersifat dinamik dan perlu dikemas kini secara berterusan.
“Kita menggunakan maklumat daripada Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) serta statistik daripada pelbagai kementerian dan agensi, termasuk Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri dan Kementerian Kewangan, bagi memastikan intervensi yang dilaksanakan benar-benar sampai kepada golongan yang memerlukan,” katanya.
Menurutnya, terdapat juga isi rumah miskin yang sukar dihubungi atau tidak memaklumkan perubahan maklumat, menjadikan proses pengesanan perlu dipertingkatkan.
“Justeru, usaha libat urus dan kunjungan lapangan oleh agensi serta kerajaan akan terus diperkukuh bagi memastikan mereka yang berada dalam kumpulan miskin tegar dapat dikenal pasti dan dibantu,” katanya.
- Bernama
