Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Banjir melanda Lembah Klang, ada tembok penahan runtuh
Diterbitkan:  Nov 24, 2025 2:40 PM
Dikemaskini: 9:45 AM

Banjir kilat dilaporkan berlaku di pelbagai lokasi di sekitar Lembah Klang ekoran hujan lebat berlanjutan sejak malam tadi.

Antara kawasan yang terjejas ialah beberapa bahagian Shah Alam, Klang dan Puncak Alam, manakala amaran banjir telah dikeluarkan untuk daerah Gombak, Petaling dan Hulu Langat.

Air yang semakin meningkat turut menjejaskan laluan bagi Lebuh Raya Shah Alam (Kesas), Lebuh Raya Baru Lembah Klang (NKVE) dan Lebuhraya Utara-Selatan Lingkaran Tengah (Elite).

Di ibu negara, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur sudah bersiap sedia untuk menghadapi sebarang banjir kilat.

Sementara itu, hujan berterusan juga menyebabkan tanah runtuh berhampiran Jalan Klang Lama.

Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok, melaporkan bahawa pada jam 10 pagi tadi tembok penahan di belakang Blok B Flat Taman United runtuh dan menghempap sebuah kereta.

Sebagai langkah berjaga-jaga, penduduk dari blok B dan C telah dipindahkan ke Pusat Komuniti Sri Petaling.

Di seluruh negara setakat awal petang ini, lebih 11,500 orang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara kerana banjir, dengan 8,000 orang daripadanya di Kelantan.

Perlis dan Perak juga dilaporkan terjejas teruk dengan lebih 1,000 penduduk di setiap negeri dipindahkan.

Sementara itu, Bernama melaporkan penilaian Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mendapati pergerakan tanah di lokasi kejadian tanah runtuh di Taman United, Seputeh dekat sini masih berlaku setakat ini.

Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Hoo Chang Hook berkata susulan itu, penduduk di kawasan terjejas dinasihatkan berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) yang dijangka dibuka di Dewan Komuniti Sri Petaling.

Beliau berkata Datuk Bandar Kuala Lumpur mengarahkan sebuah syarikat kontraktor menutup cerun itu dengan kanvas sebagai langkah segera.

“Kita bimbang cuaca bertambah buruk malam ini, sekali gus mungkin menyebabkan lebih banyak pergerakan tanah,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini.

Hoo berkata dua jalan telah ditutup dan papan tanda amaran diletakkan berhampiran lokasi tanah runtuh dengan bantuan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

Selain itu, orang awam dinasihatkan tidak mendekati kawasan tanah runtuh.

Hoo berkata polis sedang mengesan pemilik dua kereta dan motosikal yang tertimbus susulan tanah runtuh di kawasan cerun yang dianggarkan 60 meter ekoran hujan berterusan sejak semalam.

Pusat Gerakan Operasi JBPM Kuala Lumpur menerima laporan kejadian pada 11.02 pagi melibatkan runtuhan cerun di Jalan Sepadu 6, namun kejadian tidak melibatkan kemalangan jiwa.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS