Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

“Sekarang saya tumpang rumah saudara, tapi tak tahu sampai bila boleh hidup menumpang,” keluh penduduk Kampung Papan, Logesvaran Marimuthu, 50, ketika menyertai demonstrasi di hadapan pusat pentadbiran kerajaan Selangor di Shah Alam pagi tadi.

Walaupun dalam keadaan hujan lebat, kira-kira 80 penduduk bersama aktivis Parti Sosialis Malaysia (PSM) berhimpun bagi menuntut kerajaan negeri menunaikan janji dan menyelesaikan isu perobohan rumah mereka.

Rumah Logesvaran dirobohkan minggu lalu dan dia mendakwa selain kehilangan rumah, hampir semua perabot dan barangan elektriknya turut rosak.

“TV, mesin basuh, peti sejuk semua sudah rosak,” katanya.

Abang Logesvaran, Nathan Marimuthu, 55, berkata dia sebak melihat rumah peninggalan mendiang ayahnya yang dibina lebih 50 tahun lalu kini ranap sepenuhnya.

“Rumah itu dibina sendiri oleh ayah saya dan menjadi tempat kami membesar serta berkumpul sejak puluhan tahun lalu,” katanya.

Nathan (kiri) bersama Logesvaran

Logesvaran turut melahirkan rasa kecewa kerana tiada wakil kerajaan negeri turun bertemu penduduk sejak perobohan bermula.

“Sudah masuk hari ke-10 perobohan tapi tiada seorang pun wakil kerajaan negeri datang jumpa kami.

"Mereka keluarkan kenyataan konon nak tunjuk kerajaan negeri prihatin, padahal tak ada apa-apa yang dilakukan sampai ke hari ini.” dakwanya.

Terdahulu, dalam sidang media selepas pembentangan Belanjawan Selangor 2026, Menteri Besar Amirudin Shari berkata rumah baru untuk 181 keluarga Kampung Papan akan dibina oleh anak syarikat kerajaan negeri, Permodalan Negeri Selangor Bhd (PNSB), di atas tanah eluas 2.83 hektar yang diserahkan pemaju.

Dia turut mencadangkan penempatan sementara melalui Skim Smart Sewa.

Mahu petempatan munasabah

Namun bagi Logesvaran, kenyataan itu dianggapnya sekadar janji kosong selagi tiada tindakan segera dilakukan oleh pihak yang berkenaan.

Tambahnya, dia juga mempersoalkan ketiadaan Ahli Parlimen Klang, Ganabatirau Veraman, untuk menyelesaikan isu mereka.

"Sepatutnya sebagai ahli parlimen, dia kena turun berbincang dengan kami. Sekarang hanya Adun sahaja yang ada bantu," katanya.

Sementara itu Timbalan Pengerusi PSM, S Arutchelvan, berkata sepanjang operasi itu, 29 rumah berpenghuni telah dirobohkan walaupun menteri besar sebelum ini menyatakan hanya rumah kosong yang akan diambil tindakan sedemikian.

Menurutnya, seramai 23 individu termasuk penduduk dan aktivis turut ditahan ketika cuba menghalang operasi tersebut.

Himpunan hampir dua jam itu menyaksikan penduduk menyerahkan memorandum kepada seorang pegawai khas Exco Perumahan dan Kebudayaan Selangor, Borhan Aman Shah, serta dua wakil pembangkang iaitu Adun Kuang, Mohd Rafiq Mohd Abdullah, dan Mu’izzuddeen Mahyuddin (Kuala Kubu Baru).

Memorandum itu membawa lapan tuntutan, antaranya mendesak diadakan rundingan dengan melibatkan jawatankuasa penduduk, mengembalikan keputusan mesyuarat kerajaan negeri pada 26 Feb 2018 yang menawarkan rumah teres bersaiz 20x70 kaki berharga RM99,000 seunit.

Tidak ketinggalan menuntut mereka menuntut agar syarikat Melati Ehsan Consolidated Sdn Bhd (Melati Ehsan) membayar ganti rugi kepada 29 rumah berpenghuni yang dirobohkan antara 10 hingga 14 Nov lalu.

Penduduk turut menuntut petempatan sementara yang munasabah sebelum sebarang penarikan kes mahkamah, semua projek Melati Ehsan dibekukan sehingga isu mereka diselesaikan, dan penggunaan Akta Pengambilan Tanah 1960 jika pemaju enggan menyerahkan tanah mencukupi.

Mereka juga mahu agar dilakukan semakan semula ke atas senarai 211 peserta bancian, selain rundingan berasingan bagi rumah ibadat dibuat.

Konflik Kampung Papan memuncak sejak Okt lalu apabila penduduk menerima notis perobohan sebelum mereka mengadakan demonstrasi pada 23 Okt bagi menyatakan bantahan terhadap tindakan pemaju.

Pada 27 Okt satu lagi notis baru dikeluarkan memaklumkan perobohan akan dijalankan pada 10 Nov.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS