Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) mendedahkan berlaku ketidakpatuhan terhadap prosedur dan dasar pelesenan Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) dalam proses kelulusan 54 lesen perikanan yang diberikan kepada dua buah syarikat.
EAIC memaklumkan siasatan telah dijalankan terhadap pegawai DOF di Johor, Kedah, Terengganu, Kelantan, Pahang dan ibu pejabat agensi itu.
Katanya siasatan dijalankan berdasarkan Seksyen 28 Akta EAIC 2009.
"Hasil siasatan mendapati berlaku ketidakpatuhan terhadap prosedur dan dasar pelesenan DOF serta wujud unsur jenayah pemalsuan atau menggunakan dokumen palsu sebagai tulen yang boleh disiasat di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan," katanya hari ini.
Sehubungan dengan itu, EAIC memaklumkan, hasil siasatan akan dirujuk kepada pihak berkuasa tatatertib DOF dengan mengesyorkan hukuman tatatertib terhadap pegawai-pegawai yang terlibat di bawah Peraturan 38, Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.
"Kesalahan yang dikenal pasti melibatkan unsur tidak bertanggungjawab, ingkar perintah dan cuai dalam melaksanakan tugas," katanya.
Selain itu, EAIC menjelaskan, hasil siasatan turut dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) selaras dengan peruntukan Perenggan 30(1)(c) Akta EAIC bagi pertimbangan siasatan jenayah mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan atau mana-mana peruntukan berkaitan terhadap suspek-suspek yang dikenal pasti.
Menurut EAIC, beberapa syor penambahbaikan turut dikemukakan kepada DOF termasuk agar Ketua Pengarah Perikanan mempertimbangkan pembatalan lesen vesel yang diperoleh melalui prosedur yang tidak teratur.
Turut disyorkan ialah penyediaan garis panduan kelulusan ubah suai vesel melebihi 20 peratus pada peringkat ibu pejabat dan penambahbaikan sistem pengurusan fail di pejabat perikanan daerah, penetapan had bilangan lesen perikanan atau vesel bagi setiap syarikat dan penambahbaikan sistem e-Lesen bagi meningkatkan kecekapan serta integriti proses pelesenan.
- Bernama
