PRN SABAH | Hajiji Noor menepis tanggapan bahawa Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di bawah telunjuk Putrajaya.
Ketua Menteri sementara Sabah itu berkata tanggapan itu adalah naratif politik yang dirangka untuk menjejaskan GRS dan kerjasamanya dengan PH dalam PRN kali ini.
Katanya, hubungan yang kuat antara persekutuan dan negeri perlu dikekalkan pada setiap masa untuk memastikan Sabah terus bergerak ke hadapan.
“Saya fikir itu tidak benar. Sebenarnya, ada kala dengan PM, saya nyatakan dengan jelas kepadanya yang keutamaan saya adalah demi kepentingan Sabah.
“Apa yang penting kita perlu ada hubungan baik dengan kerajaan persekutuan. Demi Sabah,” katanya kepada pemberita semasa acara kempen di Kiulu hari ini.
Dia berkata Sabah tidak boleh menjarakkan diri daripada pembuatan dasar di peringkat persekutuan.
“Jika kita ingin majukan Sabah, kita perlu ada hubungan baik dengan kerajaan persekutuan.
“Jadi, kenapa tidak kita bekerjasama?” katanya lagi, sambil menambah dakwaan bahawa GRS dikawal Putrajaya sebagai taktik politik untuk melemahkan kerjasama itu.

PH turut termasuk dalam pentadbiran GRS di Sabah. Dua gabungan itu juga berkerjasama dalam PRN kali ini.
Sebelum ini, Pengerusi PH Anwar Ibrahim menjelaskan pihaknya tiada hasrat untuk mengawal Sabah mahupun menuntut jawatan Ketua Menteri, tetapi ingin membantu mewujudkan pentadbiran yang kuat dan berkesan di negeri itu.
Terdahulu, Hajiji dengan lantang mengkritik seteru politiknya, iaitu Presiden Warisan Shafie Apdal, dengan menyifatkannya sebagai melebih-lebihkan pengaruh yang dimilikinya dan gagal sebagai pemimpin.
Katanya, Shafie terus “bercakap besar” walaupun menurutnya mempunyai rekod yang lemah di Semporna mahupun ketika memegang jawatan persekutuan.
“Setiap kali naik pentas, dia puji diri sendiri…Dia bercakap macam dia hero semuanya,” kata Hajiji.
Dia berkata walaupun Shafie menjadi Menteri Pembangunan Wilayah dan Luar Bandar selama tujuh tahun, ia tidak membawa penambahbaikan bermakna kepada Sabah.
“Bila jadi menteri, dia buat apa? Adakah dia beri bekalan elektrik dan air kepada rakyat Sabah? Tiada,” katanya lagi.
