Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur akan memutuskan permohonan semakan kehakiman bekas perdana menteri Najib Razak berhubung permohonannya untuk menjalani hukuman penjara di rumah pada 5 Jan tahun depan.
Hakim Alice Loke Yee Ching menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujahan daripada peguam Najib, Muhammad Shafee Abdullah, serta Peguam Persekutuan Kanan Shamsul Bolhassan bagi pihak kerajaan dan peguam negara selaku responden.
Turut dinamakan sebagai responden ialah Menteri Dalam Negeri, Komisioner Jeneral Penjara, Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) serta Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang JPM.
Najib memfailkan semakan kehakiman itu pada 3 April tahun lalu, mendakwa bahawa Yang di-Pertuan Agong ke-16 telah mengeluarkan satu titah addendum pada 29 Jan 2024, yang menurutnya membenarkan baki hukumannya dijalani di rumah.
Melalui permohonan itu, Najib memohon perintah mandamus untuk memaksa responden menyerahkan versi asal dokumen addendum tersebut, selain kos dan apa-apa relif lain yang dianggap sesuai oleh mahkamah.
Dia juga memohon perintah supaya responden bukan sahaja mengesahkan kewujudan addendum itu, tetapi turut “segera memindahkan pemohon dari Penjara Kajang ke kediamannya di Kuala Lumpur bagi membolehkannya menjalani hukuman di bawah tahanan rumah”.
‘Agong mahu beri pengampunan penuh’
Dalam hujahnya, Shafee menegaskan bahawa Yang di-Pertuan Agong tidak terikat dengan nasihat Lembaga Pengampunan, kerana baginda hanya mempengerusikan mesyuarat tersebut berdasarkan Perkara 42(8) Perlembagaan Persekutuan—bukan sebagai pengerusi tetap.
Dia mendakwa bahawa pada awalnya, Seri Paduka berhasrat memberikan pengampunan penuh kepada Najib.
Shafee merujuk kepada minit mesyuarat Lembaga Pengampunan yang dikemukakan sebagai afidavit oleh responden—dokumen yang pada permulaan prosiding cuba dibantahnya.
Namun, menurut Shafee, baginda tidak mendapat undi majoriti dalam mesyuarat tersebut, dan akhirnya hukuman Najib dalam kes SRC International dikurangkan daripada 12 tahun kepada enam tahun dan denda dikurangkan daripada RM120 juta kepada RM50 juta.
“Ia (tahanan rumah) hanyalah satu bentuk relief, bukan pengampunan,” katanya.
Menurutnya, tanggapan bahawa Lembaga Pengampunan mengikat kuasa Agong adalah salah kerana Perkara 42 dengan jelas memberikan kuasa baginda untuk memberikan pengampunan, penangguhan (reprieve) dan pelepasan (respite) yang berasingan daripada pengampunan penuh.
“Kami berhujah bahawa tahanan rumah bukan pengurangan hukuman, dan bukan pengampunan—ia satu bentuk respite yang boleh dibangkitkan oleh Seri Paduka.”
‘Tiada sebutan tahanan rumah dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan’
Shamsul berhujah bahawa Perkara 42(9) mewajibkan Lembaga Pengampunan menimbangkan pandangan bertulis peguam negara sebelum memberi nasihat kepada Agong—meliputi semua perkara, termasuk kuasa baginda memberi reprieve atau respite.
Katanya, isu tahanan rumah langsung tidak dibangkitkan dalam mesyuarat tersebut.
“Semua perkara telah dibincang, termasuk cadangan pengampunan penuh 100 peratus dan pilihan pengurangan 50 peratus.
“Akhirnya, selepas mengambil kira nasihat itu, keputusan memberi pengurangan 50 peratus dibuat. Tidak ada apa-apa disebut mengenai tahanan rumah.”
Shafee membalas bahawa mesyuarat Lembaga hanya berkait dengan permohonan pengampunan—bukan penangguhan atau pelepasan hukuman, yang menurutnya adalah dalam prerogatif mutlak Yang di-Pertuan Agong.
Dia turut merujuk kepada Perkara 32, yang memberikan kekebalan mutlak kepada Yang di-Pertuan Agong daripada sebarang prosiding mahkamah kecuali di Mahkamah Khas.
“Ini menyokong hujah saya bahawa kamu tidak boleh mempertikaikan perintah Yang di-Pertuan Agong kerana baginda sendiri tidak boleh dijadikan pihak dalam prosiding.
“Mereka mengatakan perintah Baginda itu ‘tidak sah’. Jika begitu, logiknya Yang di-Pertuan Agong perlu dibawa ke mahkamah. Tetapi Perkara 32 melarang perkara itu. Begitulah kuatnya kekebalan baginda.”
Najib kini menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.
Mahkamah Tinggi sebelum ini menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta, dan keputusan itu dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan dan Persekutuan selepas menolak rayuan Najib.
Dia kemudian memfailkan petisyen bagi mendapatkan pengampunan diraja pada 2 Sept 2022, yang membawa kepada keputusan Lembaga Pengampunan untuk mengurangkan hukuman penjara daripada 12 tahun kepada enam tahun manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.
