Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
K’jaan tak akan hukum ibu bapa jika anak bawah 16 tahun guna media sosial

PARLIMEN | Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata kerajaan tidak merancang untuk mengambil tindakan terhadap ibu bapa berhubung penggunaan media sosial oleh individu bawah umur sebaik saja larangan ke atas golongan bawah 16 tahun dilaksanakan pada 2026.

Namun, Teo dengan tegas mengingatkan ibu bapa dan orang dewasa tetap bertanggungjawab untuk sentiasa mendidik anak-anak mengenai amalan internet yang selamat, dan menggesa mereka memantau penggunaan internet anak masing-masing.

“Bila kita kata tak akan benarkan bawah 16 tahun ada akaun media sosial, itu tak bermakna mereka tak boleh guna internet langsung. Ada perbezaan besar, saya ingin tekankan ini. Apa-apa pun, ibu bapa tetap ada tanggungjawab untuk pantau anak mereka.

“Isu di sini adalah jika ibu bapa beri telefon tanpa pantau kandungan yang dilihat anak-anak mereka, maka adakah kita juga sedia untuk ambil tindakan terhadap mereka?

“Buat masa sekarang, tiada keputusan seumpama itu di peringkat kabinet atau kementerian. Tetapi untuk isu-isu seperti ini, perbincangan dan konsensus sangat penting.

“Kita perlukan tekad politik untuk atasi isu ini, dan kita akan tegas apabila membincangkannya dengan penyedia platform,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

 Berbeza dengan Australia

Teo juga menjelaskan pelaksanaan siste e-KYC untuk menyekat akses media sosial terhadap individu bawah 16 tahun akan menggunakan kaedah berbeza daripada di Australia.

Katanya, had umur media sosial yang dikenakan Australia berdasarkan sistem “jaminan umur”, berbeza dengan cadangan dasar Malaysia yang bergantung kepada “pengesahan umur” menerusi dokumen pengenalan rasmi.

Namun, di sebalik kebimbangan berkenaan maklumat peribadi terkait dasar itu, Teo membangkitkan kaedah e-KYC serupa sudah pun dilaksanakan platform media sosial sebelum memberikan “blue tick” pada akaun.

Ramkarpal Singh (PH-Bukit Gelugor) kemudian bertanya jika Kementerian Komunikasi telah mengadakan sesi libat urus denan kementerian lain berhubung pelaksanaan dasar tersebut.

Teo berkata mereka kerap berhubung dengan Kementerian Pendidikan, Kementerian Dalam Negeri dan Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) berhubung isu ketagihan media sosial dan penggunaan tidak bertanggungjawab di kalangan golongan muda.

Dia juga menegaskan pihaknya telah mengadakan kempen celik digital di sekurang-kurangnya 8,000 sekolah di seluruh negara pada tahun ini.

Bakhtiar Wan Chik (PH- Balik Pulau) pula berkata kerajaan tidak seharusnya melaksanakan dasar sebagai “reaksi melulu” tanpa menangani akar punca isu tersebut terlebih dahulu.

“Hanya kerana Australia haramkan sosial media kepada rakyat bawah 16 tahun, tak semestinya kita kena ikut…Tetapi lebih penting, kita juga perlu didik etika digital yang penting kepada ibu bapa juga, berbanding fokus sepenuhnya kepada anak,” katanya lagi.

Membalas kenyataan itu, Teo sekali lagi berkata dasar itu bukan untuk menghalang, tetapi mengawal selia penggunaan internet di kalangan golongan muda, dan ibu bapa memang perlu bertanggungjawab dalam memantau anak mereka.

“Mustahil untuk kita halang anak-anak kita daripada guna internet langsung, kerana ia tetap membawa kebaikan kepada mereka. Anak saya sendiri perlu internet untuk buat kerja rumah.

“Tapi apa yang paling penting untuk difahami ibu bapa dan orang dewasa ialah tanggungjawab mereka. Jika kita putuskan untuk benarkan anak-anak kita akses internet, maka kita perlu pastikan kandungan yang diakses mereka juga dipantau,” katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS