Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PBS tegaskan tetap parti tempatan sebenar Sabah

Parti Bersatu Sabah (PBS) hari ini menyanggah dakwaan yang mereka sudah tersasar daripada perjuangan asal berbanding parti tempatan lain – yang kini sedang giat bersaing untuk mendapatkan kemenangan dalam PRN Sabtu ini.

Ketua Penerangan PBS, Joniston Bangkuai, berkata pengundi Sabah kini sebenarnya sedang berdepan dengan lambakan parti yang menjenamakan diri mereka sebagai “parti tempatan” namun parti yang benar-benar Sabah tulen ialah PBS.

“Dalam soal siapa (parti) paling tempatan lokal, PBS adalah yang paling lokal. PBS pernah memerintah selama sembilan tahun – dari 1985 hingga 1994.

“Kita dulu berani, kita lantang, tapi rakyat mahu tengok hasil. Dan sekarang, melalui gabungan ini, kita sudah nampak hasil,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Kiulu, Tuaran hari ini.

Dia juga menjelaskan bagaimana “perpecahan” di Sabah dapat dilihat di Kiulu apabila seramai lapan calon bertanding dalam PRN kali ini, termasuk dirinya sendiri yang cuba mempertahankan kerusi tersebut.

Selain Joniston – yang mewakili Gerakan Rakyat Sabah (GRS) – turut bertanding ialah. Henry Saimpon (Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat), Dusi Gingging (Parti Kebangsaan Sabah), Trevor Kenneth Maringking (Parti Kerjasama Anak Negeri), Saibin Gunsari (Warisan), Joisin Romut (Upko), Niyky @ Niky J.bosikol (Parti Impian Sabah), dan Terence Sinti (Parti Solidariti Tanah Airku).

Untuk rekod dalam PRN 2020 Joniston memenangi kerusi Kiulu dengan majoriti 1,221 undi.

Kata Joniston semua parti yang bertanding di situ mendakwa sebagai parti tempatan namun masing-masing bergerak bersendirian, sedangkan yang terbaik ialah mereka bekerjasama untuk menyatukan rakyat Sabah.

“Sepatutnya semua parti tempatan bersatu di bawah GRS,” katanya sambil menegaskan yang PBS konsisten dengan perjuangan mereka ketika pihak lain memilih untuk sebaliknya.

Joniston berkata kekal dalam GRS penting untuk menyatukan parti-parti Sabah.

Kenyataan itu dibuat selepas pengasas PBS, Joseph Pairin Kitingan, menyindir parti itu kerana bekerjasama dengan PH melalui GRS.

Pairin yang juga bekas ketua menteri berkata deikian dalam satu program kempen politik. Dia menggunakan analogi perubatan ketika mendakwa Sabah sedang “sakit” dan perlu dirawat dengan membuang elemen yang merosakkan.

Walaupun berkias, kenyataan itu dipercayai membayangkan rasa tidak senang Pairin terhadap langkah yang diambil PBS ketika ini.

Menurut Joniston walaupun dianggap “sakit” PBS yakin pengundi lebih yakin kepada apa yang mampu dilaksanakan secara nyata oleh parti.

“Bagi saya, rakyat tidak mahu dengar sentimen. Mereka mahu tahu apa kita boleh bantu mereka, apa kita boleh buat untuk mereka.

“Saya fokus kepada pembangunan ekonomi, pertanian, pelancongan, tanah kita yang subur. Saya tidak berminat dengan retorik,” katanya.

Dia juga mengulas bagaimana PBS tetap tegas dengan pendirian bahawa bekerjasama dengan parti-parti Melayu bukan bermakna mereka tunduk mengalah.

“Kita kekal tegas. Pendekatan itu penting untuk menyampaikan hasrat rakyat Sabah,” katanya.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS