Kumpulan sensasi, Dolla bertemu Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil di Bangunan Parlimen Malaysia di ibu negara hari ini.
Dolla menerusi entri di Instagram (IG) memuat naik foto bersama Fahmi dan klip video pendek yang dirakam pada pertemuan itu.
"Masa depan yang kelihatan mengujakan! Terima kasih Yang Berhormat Fahmi Fadzil dan pasukan," tulis Dolla pada ruangan kapsyen entri itu.
Melalui perkongsian sama, kumpulan dibarisi tiga gadis, Sabronzo, Tabby dan Angel itu sempat menyampaikan cenderamata yang tertera nama 'Dolla' kepada Fahmi.
Sementara itu, Harian Metro melaporkan Universal Music Malaysia selaku syarikat rakaman yang menaungi Dolla turut menzahirkan penghargaan buat Fahmi dan pasukan daripada Kementerian Komunikasi atas kesudian mengadakan pertemuan.
"Suatu penghormatan besar dapat duduk bersama Menteri Komunikasi petang ini.
"Terima kasih atas perbincangan dan kesudian mendengar visi kami.

"Perkara menarik sedang menanti industri dan kami tidak sabar untuk menjadi sebahagian daripadanya!," tulisnya menerusi hantaran di IG.
Pertemuan itu turut dihadiri Pengarah Urusan Universal Music Malaysia, Kim Lim.
Pertemuan ini berlangsung beberapa hari selepas Dolla mengumumkan pembatalan konsert mereka.
Kumpulan tersebut menjelaskan bahawa mereka tidak mahu mengambil risiko lebih lama atau pembatalan saat-saat akhir sekiranya permit masih tidak dikeluarkan beberapa hari sebelum acara tersebut berlangsung.
Penganjur konsert, SAH Entertainment dan Universal Music Malaysia, turut memohon maaf dalam satu kenyataan atas pembatalan konsert “Dolla: Good Girls Gone Bad Live Concert”.
Minggu lalu, Dolla menerima kritikan di media sosial berhubung pakaian mereka dalam video muzik lagu baru mereka, “Question”, yang dikeluarkan pada 6 Nov lalu.
Susulan reaksi orang ramai, termasuk daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Na’im Mokhtar, video tersebut telah dikeluarkan daripada YouTube dan mendorong permohonan maaf daripada Universal Music Malaysia.
Kim Lim berkata keputusan untuk menurunkan video itu dibuat berdasarkan maklum balas orang ramai selepas mereka menilai semula kandungan produksi video tersebut.
Sebelum ini, Na’im mengkritik pakaian kumpulan itu sebagai tidak sesuai dan kurang sensitif kepada budaya dan agama, serta memberi gambaran bahawa tindakan undang-undang syariah mungkin dipertimbangkan ke atas anggota kumpulan yang beragama Islam
Dia juga berkata akan menggesa Jakim dan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan untuk menyemak garis panduan pakaian sedia ada bagi orang Islam di khalayak ramai.
Kenyataan tersebut menimbulkan kritikan balas daripada peguam Latheefa Koya, yang berpendapat Na’im melangkaui bidang kuasa dan menegaskan bahawa menteri tidak mempunyai kuasa untuk menyiasat atau mendakwa individu.
