Sepuluh kali adalah simbol kesungguhan seorang lelaki, Che Mohd Farid Ismail, mengejar cita-citanya tanpa mengenal lelah atau mengalah. Dia melakukannya walaupun kebanyakan orang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) hanya sekali.
Dia sedar, menggapai kejayaan dalam SPM adalah kunci untuk membuka laluan masa depan yang lebih cerah. Dan ia terbukti apabila lelaki dari Kota Bharu, Kelantan itu kini menjadi guru Bahasa Melayu.
Bukan itu saja. Cabaran dalam hidup Che Mohd Farid, 37, sebenarnya bermula sejak awal. Lahirnya ke dunia tiga minggu lebih awal daripada sepatutnya. Semasa proses kelahiran, dia berada dalam keadaan songsang.
Kini berstatus orang kelainan upaya (OKU), proses tumbesaran Che Mohd Farid juga agak lambat, lambat pula boleh berjalan, dan apabila semakin membesar, pertuturannya tidak sama seperti orang lain.
Che Mohd Farid gagap.
Namun, kesungguhannya untuk mengejar masa depan yang lebih adalah luar biasa.
Antara 2005 hingga 2010, Che Mohd Farid menduduki SPM sebanyak 10 kali dalam usaha memperbaiki keputusan agar memenuhi syarat kemasukan ke universiti.
Dia menduduki enam kali SPM penuh dan empat kali peperiksaan ulangan. Tumpuannya terarah kepada mengulang mata pelajaran Bahasa Melayu dan Matematik – dua subjek kritikal yang menentukan kelayakan seseorang memasuki universiti.
Kerja pengawal keselamatan
Walaupun terpaksa berdepan dengan peperiksaan besar berulang kali Che Mohd Farid tidak pernah rasa terbeban, malah lebih bersemangat dari semasa ke semasa untuk berjaya.
Sementara itu ibu Che Mohd Farid, Che Rugayah Che Awang, 68, adalah antara orang yang paling banyak berusaha dan berkorban agar pemuda terbabit berjaya menggapai impiannya.
Dia sendiri seorang guru Matematik, Che Rugayah menceritakan bagaimana dia gigih mendidik anaknya.
“Saya terpaksa ulang ajar soalan Matematik yang sama berkali-kali sebab kalau hari ini dia ingat, esok dia lupa.
“Tapi saya tidak pernah berhenti mencuba,” katanya kepada Malaysiakini.
Walaupun kerap menghadapi kegagalan, Che Mohd Farid tidak menyerah. Pada 2011 dan 2012, dia meneruskan perjuangan dengan mengambil Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) pula sebelum akhirnya diterima mengikuti pengajian jarak jauh di Universiti Sains Malaysia.
Dia berjaya memperoleh ijazah Sarjana Muda Sastera (Kepujian) pada 2017 dengan menghabiskan masa empat tahun di universiti berkenaan.

Selesai pengajiannya , Che Mohd Farid bekerja sementara sebagai pengawal keselamatan sambil membantu ayahnya mengerjakan sawah padi. Namun cita-cita untuk menjadi guru tidak pernah padam.
Pada 2023, dengan dorongan keluarga, dia mengambil Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah (DPLI) di Universiti Kebangsaan Malaysia sebagai langkah terakhir untuk melayakkan diri memohon jawatan sebagai pendidik.
Selepas bertungkus-lumus untuk menghabiskan pengajaran dan kursus selama setahun, dia akhirnya layak untuk memohon penempatan sebagai seorang guru.
Dia telah menghadiri temuduga Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan pada 21 Mei 2025 — dan lulus.
Mampu melangkah lebih jauh
Keluarganya menyifatkan pencapaian Che Mohd Farid sebagai hadiah terbesar dalam hidup mereka.
Adiknya, Che Ainun Nasihah Ismail, 35, seorang doktor dan pensyarah pelatih berkata keluarga tidak pernah menganggap Che Mohd Farid beban di sebalik statusnya sebagai OKU.
Che Mohd Farid memulakan tugas secara rasmi sebagai guru di sebuah sekolah menengah di Johor pada 17 Nov lalu.
Menceritakan faktor yang menjadi pendorong untuk dia tidak mengenal penat lelah mencapai cita-cita, Che Mohd Farid berkata, kesedaran tentang pentingnya masa depanlah yang mencetuskan perubahan besar dalam dirinya.

“Saya selalu fikir bagaimana nasib saya nanti kalau ibu dan ayah dah tak ada. Saya tak mahu kekal di tempat sama,” katanya.
Sementara itu Che Mohd Farid berkata cabaran terbesar golongan OKU ialah berdepan dan menguruskan persepsi masyarakat terhadap mereka.
Katanya ramai yang memandang rendah OKU malah yakin golongan terbabit tidak mampu melangkah lebih jauh walaupun berjaya belajar sehingga ke peringkat universiti.
Namun bagi Che Mohd Farid, kejayaannya kini boleh menjadi bukti bahawa jika diberi peluang seseorang boleh mengubah hidup masing-masing.
Sebagai guru pula Che Mohd Farid berazam memberikan yang terbaik dalam mendidik anak-anak muridnya agar mereka menjadi insan yang berguna.
Dia juga memberi pesanan kepada sesiapa saja yang sedang berjuang untuk menggapai impian masing-masing.
“Jangan pernah berputus asa. Bantu diri sendiri demi cita-cita,” katanya.
