Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Mengapa k'jaan negeri tak cegah insiden haiwan liar dilanggar, kata aktivis

Seorang aktivis alam sekitar mempersoalkan mengapa kerajaan negeri tidak menggunakan dana persekutuan untuk melindungi hidupan liar, susulan satu lagi insiden hHarimau Malaya dipercayai dilanggar sebuah kenderaan yang melalui kawasan hutan di Hulu Perak.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 malam pada 23 Nov, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) mengesahkan menerima laporan bahawa harimau tersebut — yang mana populasinya kini kurang daripada 150 ekor — cedera selepas dilanggar sebuah kenderaan di Jalan Lepang Nenering, Pengkalan Hulu, Perak.

Pengarah Perhilitan Perak, Yusoff Shariff, memberitahu Harian Metro bahawa pasukan agensi itu menemui kesan menunjukkan haiwan tersebut cedera, tetapi sehingga laporan diterbitkan, mereka masih belum berjaya mengesannya.

Bercakap kepada Malaysiakini, pegawai lapangan Sahabat Alam Malaysia (SAM) yang berpangkalan di Perak, Meor Razak Meor Rahman berkata, kemalangan itu berlaku di kawasan yang telah dikenal pasti oleh kerajaan persekutuan sebagai koridor hidupan liar.

Kawasan seluas 5,799 hektar itu dikenali sebagai Rangkaian Ekologi A-PL2 (CFS1-PL4) dan merangkumi Hutan Simpan Padang Chong, Sungai Kuak dan Lapang Nenering, berdasarkan Pelan Induk Rangkaian Ekologi 2022 bagi Central Forest Spine (CFS) oleh PLANMalaysia.

Selain harimau, kawasan ini turut menjadi habitat gajah, harimau kumbang, harimau dahan, beruang matahari dan tenuk.

“Ini bukan kali pertama insiden seperti ini berlaku kerana jalan raya di kawasan itu memang merentasi habitat hidupan liar.

“Kerajaan sudah mengenal pasti kawasan ini dan PLANMalaysia juga sudah mencadangkan langkah-langkah yang boleh diambil kerajaan negeri untuk mengurangkan konflik manusia-haiwan dan mengelakkan kemalangan seperti ini,” kata Meor.

Antara cadangan PLANMalaysia ialah membina viaduct dan jambatan lintasan haiwan di lokasi-lokasi tertentu sepanjang jalan raya dan lebuh raya.

“Kerajaan negeri tidak mahu membina struktur ini kerana kekurangan dana dan kosnya mahal. Tetapi sebenarnya dana daripada kerajaan persekutuan memang tersedia,” jelasnya.

Sejak Belanjawan 2019, kerajaan persekutuan telah memperuntukkan dana melalui skim Ecological Fiscal Transfer (EFT) yang boleh digunakan oleh kerajaan negeri untuk memelihara hutan dan melindungi hidupan liar.

Belanjawan 2024 memperuntukkan RM200 juta untuk EFT, dan jumlah itu meningkat kepada RM250 juta bagi tahun 2026.

“Kerajaan negeri boleh menggunakan dana ini untuk membina struktur lintasan haiwan. Jadi persoalannya, mengapa mereka tidak berbuat demikian?” tambahnya.

Insiden terbaru ini berlaku selepas beberapa siri kemalangan melibatkan hidupan liar yang menimbulkan kemarahan orang ramai.

Dalam kejadian tragis pada Hari Ibu 11 Mei lalu, seekor gajah betina dirakam cuba menolak sebuah lori yang melanggar dan memerangkap anaknya di bawah kenderaan tersebut.

Kemalangan itu berlaku kira-kira jam 2 pagi di satu laluan di Perak sepanjang Lebuhraya Gerik–Jeli yang memang terkenal dengan kehadiran gajah liar.

Pada Mac 2024, seekor harimau dahan ditemui mati di laluan Trong–Beruas, yang merupakan sebahagian daripada Lebuhraya Pantai Barat (WCE) yang baru dibuka. Ia dipercayai mati akibat dilanggar dalam kejadian langgar lari.

Menurut Meor, walaupun banyak papan tanda dan lampu amaran dipasang di laluan yang sering digunakan hidupan liar untuk melintas, pemandu Malaysia masih tidak mengambil peduli.

Dia mencadangkan agar kamera perangkap laju dipasang di kawasan tersebut bagi memaksa pengguna jalan raya memandu dengan lebih berhemah.

“Mereka mungkin akan memperlahankan kenderaan kerana tidak mahu disaman. Mungkin itu satu-satunya cara untuk mendidik mereka supaya lebih prihatin,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS