Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Albert dedah pada Dr M dalang arah rakam video rasuah
Diterbitkan:  Nov 25, 2025 9:14 AM
Dikemaskini: 4:45 AM

Ahli perniagaan Albert Tei - yang menjadi pendedah maklumat dalam skandal rasuah berkaitan lesen cari gali mineral melibatkan ahli politik di Sabah - dikatakan memberitahu bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad tentang pihak yang mengarahkannya membuat rakaman video skandal itu.

Tei mengesahkan perkara ini dan memaklumkan pertemuannya dengan Mahathir berlangsung pagi semalam di Yayasan Kepimpinan Perdana.

"Ya, saya bagi dia (Mahathir) salinan semua bukti, iaitu 340 muka surat dan sebuah video,” katanya kepada Malaysiakini.

Dalam kenyataan di Facebook, Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari, berkongsi gambar Tei dan Mahathir, yang dipercayai dirakam semasa perjumpaan semalam.

Memetik "sumber yang boleh dipercayai", Fadhli berkata dia dimaklumkan bahawa Tei telah mengadu kepada Mahathir tentang kumpulan yang telah mengarahkan ahli perniagaan itu merakam video yang melibatkan ahli politik Sabah berkenaan.

"Saya percaya ramai yang tidak sabar ingin tahu siapa sebenarnya yang merancangkan konspirasi tersebut, apa niat dan tujuan kumpulan tersebut di sebalik semua ini?

"Nampaknya perkara ini lebih rumit dan menakutkan daripada apa yang diketahui secara umum, bayangkan Albert Tei perlu minta bantuan daripada Tun M (Mahathir) untuk mendedahkan kumpulan tersebut.

"Sudah pasti dalang di sebalik semua ini bukanlah orang biasa, marilah kita sama-sama menunggu pendedahan selanjutnya. Ini bakal mendedahkan wajah sebenar kerajaan yang bertopengkan slogan madani," katanya dalam catatan Facebook hari ini.

Perkembangan ini berlaku di tengah-tengah kekurangan kemajuan dan kemas kini daripada pihak berkuasa mengenai skandal Sabah.

Tei telah mengeluarkan video 14 ahli politik Sabah yang merupakan sebahagian daripada kerajaan negeri.

Daripada 14 orang itu, hanya dua telah didakwa kerana menerima rasuah.

Mereka ialah pembantu menteri sementara negeri Andi Muhammad Suryady dan penyandang Adun Sindumin Yusof Yacob. Tei juga didakwa memberi mereka rasuah berjumlah RM500,000.

Sepuluh orang lagi daripada 14 orang itu masih bertanding dalam pilihan raya negeri.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan SPRM telah dituduh berlengah-lengah dalam perkara itu.

Anwar berulang kali membayangkan bahawa tiada bukti yang mencukupi untuk SPRM bertindak, meski menjelaskan di Parlimen bahawa kes itu masih berjalan.

Tei dan pasukan guamannya telah mengemukakan lebih daripada 300 halaman bukti kepada SPRM yang merangkumi jejak wang, rekod bank, dokumen dan surat-menyurat bertulis sebagai bukti untuk menyokong dakwaan yang dibuat dalam video tersebut.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS