PARLIMEN | Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muda-Muar) menuntut ketelusan mengenai kuasa menteri kewangan untuk memberikan pengecualian cukai.
Dia bertanya kepada Menteri Kewangan II, Amir Hamzah Azizan sama ada kerajaan bersedia untuk mengisytiharkan nama individu atau syarikat yang menerima pengecualian cukai dan jumlah hasil cukai yang hilang serta sama ada ia akan memastikan pengisytiharan ini dilakukan setiap tahun sebagai langkah ke arah ketelusan.
Syed Saddiq juga mencadangkan agar pengecualian cukai dibawa ke jawatankuasa khas parlimen yang berkaitan untuk perbincangan dan penambahbaikan.
Dia selanjutnya bertanya sama ada Putrajaya bersedia untuk memastikan tiada konflik kepentingan dalam pemberian pengecualian cukai, serta mendakwa bahawa kajian telah menunjukkan bagaimana individu yang diberikan keistimewaan tersebut sering kali memberikan sumbangan politik.
"Saya tak nak salahkan hanya kerajaan pada hari ini, ini tradisi dari satu kerajaan ke kerajaan yang lepas.
"Ia telah dilakukan oleh ramai perdana menteri," katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Syed Saddiq menegaskan bahawa kuasa luas seperti yang diperuntukkan di bawah Seksyen 127(3)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967 adalah tidak adil kerana ia digunakan dalam kes syarikat besar, dan mendakwa bahawa ini menyebabkan kerugian ratusan juta ringgit dalam hasil cukai.
Sebaliknya, katanya, belia yang lewat membayar pinjaman pelajar dan "mak cik kiah" (rakyat biasa) yang terlepas pembayaran cukai kecil boleh berdepan dengan penyenaraian hitam.
Sebagai tindak balas, Amir berkata pengecualian sedemikian diberikan atas pertimbangan faedah negara, seperti insentif status perintis.
"Untuk menarik pelaburan masuk ke dalam negara kita ada tempoh yang kita membenarkan pengecualian cukai. Kadang-kadang kita tak bagi sepenuhnya, kita bagi sebahagian.
"Tetapi ini penting kerana kita bersaing dengan negara-negara luar untuk menarik perdagangan masuk," jelasnya.
Menurut Lembaga Hasil Dalam Negeri, status perintis diberikan oleh menteri perdagangan antarabangsa dan industri jika permohonan oleh sesebuah syarikat memenuhi syarat-syarat tertentu.
Syarikat perintis diberikan pengecualian cukai selama lima tahun ke atas pendapatan berkanunnya, bermula dari tarikh pengeluaran yang dinyatakan dalam sijil perintisnya. Ia boleh memohon lanjutan lima tahun lagi, tertakluk kepada memenuhi syarat-syarat yang berkaitan.
