Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Skandal bola: Anwar tiada tindakan, hanya lawatan - Ramasamy
Diterbitkan:  Nov 25, 2025 3:07 PM
Dikemaskini: 7:07 AM

Perdana Menteri Anwar Ibrahim dikecam apabila didakwa tidak bertindak tegas dalam skandal pemalsuan dokumen tujuh pemain warisan yang melibatkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan agensi kerajaan khususnya Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Pengerusi Urimai, P Ramasamy berkata meskipun Anwar berikrar tidak akan berlaku sebarang usaha menutup skandal itu, dia gagal menunjukkan komitmen sebenar untuk menyiasat dakwaan serius itu, sebaliknya sibuk dengan lawatan ke luar negara.

"Kekecewaan terbesar ialah sikap Anwar terhadap skandal bola sepak antarabangsa yang dilakukan oleh pegawai FAM dan mereka yang berada di JPN.

"Dengan mengatakan bahawa tidak akan ada usaha menutup skandal, dia terus menumpukan perhatiannya melancong ke negara-negara Afrika," katanya dalam kenyataan hari ini.

Anwar sebelum ini, menegaskan tiada sebarang usaha menutup skandal membabitkan FAM dan pemain warisan, sambil menyifatkan perkara itu sebagai isu besar yang mesti ditangani mengikut prosedur sewajarnya.

Perdana Menteri berkata kabinet telah membincangkan isu itu dan memutuskan tidak seharusnya ada sebarang usaha melindunginya.

"Teruskan dan siasat. Itu telah menjadi arahan. Namun begitu, prosesnya mesti berjalan.

"Kita tidak membuat keputusan bertindak semata-mata berdasarkan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA)," katanya kepada media Malaysia dalam penerbangan Malaysia Airlines menuju ke Afrika Selatan dari Ethiopia pada Khamis.

Mengulas lanjut, Ramasamy turut mengkritik Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh sebagai cuba mempertahankan JPN.

"Yeoh, sama ada diarahkan atau tidak, cuba mempertahankan pemalsuan dan penipuan itu dengan tidak melibatkan KDN dengan mengatakan bahawa dia akan bercakap dengan Saifuddin (Nasution) tentang keperluan pertuduhan jenayah terhadap pegawai FAM.

"Dia cuba memberi gambaran bahawa FAM adalah satu-satunya badan yang terlibat dalam kontroversi itu dan bukan badan lain termasuk mereka yang berada dalam JPN.

"Yeoh mungkin bertanggungjawab ke atas belia dan sukan; itu tidak bermakna dia menyelia fungsi FAM sebelum kontroversi itu meletus. Malangnya, campur tangan dia pada peringkat akhir menunjukkan bahawa dia ingin mempertahankan KDN atau JPN daripada sebarang salah laku," katanya.

Untuk rekod pada 3 Nov lepas, FIFA menolak rayuan FAM dan tujuh pemain warisan serta mengekalkan hukuman oleh Jawatankuasa Tatatertib berkaitan kesalahan pemalsuan dokumen di bawah Perkara 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC).

Susulan itu, FAM diarahkan membayar denda CHF350,000 (kira-kira RM1.8 juta), manakala setiap pemain didenda CHF2,000 (lebih kurang RM11,000) dan kesemua tujuh pemain digantung daripada sebarang aktiviti bola sepak selama 12 bulan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS