Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Keputusan semakan permohonan tahanan rumah Najib pada 22 Dis
Diterbitkan:  Nov 25, 2025 4:02 PM
Dikemaskini: 8:02 AM

Keputusan permohonan semakan kehakiman bekas perdana menteri Najib Razak berkaitan permohonan tahanan rumahnya ditukar tarikh lebih awal iaitu 22 Dis.

Ini menurut pesanan ringkas yang dihantar hari ini oleh pegawai khas Najib, Ahmad Lutfi Azhar.

Semalam, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menetapkan 5 Januari tahun depan untuk keputusan tersebut.

Najib memfailkan semakan kehakiman pada 3 April tahun lepas, mendakwa bahawa Yang di-Pertuan Agong ke-16 telah mengeluarkan titah adendum pada 29 Januari tahun yang sama, yang membolehkannya menjalani baki hukuman penjaranya di rumah.

Titah itu dikatakan telah dikeluarkan pada hari yang sama Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan memutuskan untuk mengurangkan hukuman penjara Najib daripada 12 tahun kepada enam tahun dan mengurangkan dendanya daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Bekas ahli parlimen Pekan itu dipenjara di Penjara Kajang selepas disabitkan kesalahan dalam kes rasuah SRC International bernilai RM42 juta.

Melalui semakan kehakiman itu, Najib memohon perintah mandamus untuk memaksa responden memberikan versi asal titah adendum, kos dan sebarang relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Dia juga memohon perintah mahkamah untuk memaksa responden bukan sahaja mengesahkan titah adendum yang didakwa tetapi juga untuk "dengan serta-merta memindahkan pemohon dari pusat penjara Kajang ke kediamannya yang diketahui di Kuala Lumpur, di mana pemohon akan terus menjalani hukuman penjaranya di bawah tahanan rumah".

Responden lain ialah menteri dalam negeri, ketua pengarah Jabatan Penjara, Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan, menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) dan ketua pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-undang Jabatan Perdana Menteri.

Pada 6 Januari, peguam Najib, Shafee Abdullah, membentangkan surat daripada istana Pahang di hadapan Mahkamah Rayuan, mengesahkan bahawa Yang di-Pertuan Agong sebelum ini, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah, telah mengeluarkan titah adendum mengenai tahanan rumah untuk Najib.

Pada 11 Januari, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengakui bahawa peguam negara (AG) telah menerima surat mengenai titah itu.

Namun, Anwar berkata selepas surat itu diterima, Yang di-Pertuan Agong telah bertukar, dan AG menyerahkan surat itu kepada Istana Negara untuk membolehkan Agong yang baru dilantik, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, membuat keputusan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS