PAS menggesa Perdana Menteri, Anwar Ibrahim turut meletakkan jawatan susulan peletakan jawatan setiausaha politik kanannya, Shamsul Iskandar Md Akin yang dikaitkan dengan tuduhan rasuah.
Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari menyifatkan pendedahan itu sebagai mainan politik kotor Pejabat Perdana Menteri.
Malah dia juga membangkitkan dakwaan yang pernah ditimbulkan oleh bekas timbalan presiden PKR, Rafizi Ramli sebelum ini.
"Rupa-rupanya ini yang terjadi. Kotornya mainan politik jijik pejabat Perdana Menteri Madani ini. Kalau ikut cerita YB Rafizi Ramli dalam poadcast, sudah beberapa kali beliau ingatkan PMX, dan PMX sendiri akui berkait isu Setpolnya ini, tapi tetap tiada tindakan diambil.
"Tidak cukup Setpol yang resign, PMX sendiri wajib letak jawatan. Ooo bila berucap ‘sakau.. sakau’ tiba-tiba ini yang berlaku," katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.
Ahli Parlimen Pasir Mas itu merujuk laporan Malaysiakini berhubung pendedahan Ahli Perniagaan, Albert Tei yang mendakwa memberikan RM629,000 kepada Shamsul atas alasan diyakinkan boleh mendapat kembali wang yang disalurkan kepada ahli-ahli politik di Sabah.

"Jika wang sebanyak ini tiba di tangan Setpol PM, adakah ia juga tiba ke tangan PMX?
“SPRM wajib ambil tindakan serius. Ini isu integriti, tidak pernah seorang Setpol paling kanan perdana menteri terlibat dengan isu sebesar ini,” kata Ahmad Fadhli.
Terdahulu, menurut Tei, dia menyusun dokumen setebal lebih 300 muka surat, termasuk tangkapan skrin perbualan WhatsApp dan resit, untuk menguatkan dakwaannya.
Antara lain, dia mendakwa membayar untuk pengubahsuaian, perkakas dan perabot untuk dua hartanah — satu di Bangsar, Kuala Lumpur dan kediaman pegawai kerajaan di Putrajaya.
Senarai itu didakwa meliputi perabot kulit, meja makan, sistem hiburan rumah (home theatre), mesin basuh, pengering pakaian dan kerusi urut.

Tei juga memberikan gambar “sebelum dan selepas” bilik di rumahnya di Putrajaya, yang menunjukkan perabot, katil, lampu, dan langsir yang dinaik taraf.
Sementara itu Ahmad Fadhli meminta rakyat Sabah membuat keputusan tepat dalam pilihan raya negeri itu Sabtu ini.
"Rakyat Sabah, ingatlah baik-baik. Jangan takut buat pilihan, jangan terpengaruh dengan kata-kata pilih kerajaan yang selari dengan pusat.
"Pilih Perikatan Nasional kali ini, PRU nanti pilih pula PN di peringkat pusat, selarilah nanti kerajaan negeri dengan pusat. Wahai Madani, mana nak letak muka?" katanya.
