Mayat seorang pekerja warga India yang meninggal dunia di sebuah pusat servis kereta di Cyberjaya, Selangor sejak 17 Nov lalu masih belum diuruskan oleh mana-mana pihak.
Presiden Pertubuhan Kebajikan Global Keselamatan Manusia Malaysia (GHS), Kamalanathan Thanimalay berkata, mangsa Sevugaperumal Amirthampillai, 54 bekerja di pusat servis tersebut sejak dua tahun lalu dan dipercayai membunuh diri di biliknya di tempat kerja.
Menurut Kamalanathan, mangsa telah dibawa ke Hospital Cyberjaya untuk proses bedah siasat, namun sehingga kini tiada pihak tampil menuntut dan menguruskan jenazah, termasuk majikannya.
“Kami dimaklumkan bahawa majikan menolak mengaku mangsa sebagai pekerja mereka. Mereka enggan terlibat dalam proses dokumentasi dan menanggung kos penghantaran jenazah,” kata Kamalanathan kepada Malaysiakini.
Kamalanathan telah membuat laporan polis berhubung perkara itu di Balai Polis Cyberjaya, Sepang, Selangor pada 21 Nov lalu.

Menurutnya kengganan menguruskan mayat berkenaan menyebabkan proses dokumentasi ke Kedutaan India tidak dapat dijalankan kerana semua urusan rasmi memerlukan dokumen daripada majikan, termasuk salinan pasport, kontrak kerja dan pengesahan pekerjaan.
“Kedutaan tidak boleh proses apa-apa tanpa dokumen tersebut. Hospital pula tidak boleh menyerahkan mayat kepada pihak lain, jadi jenazah ini tersadai begitu saja,” katanya.
Malaysiakini sedang berusaha menghubungi pusat servis kenderaan berkenaan untuk mendapatkan respons.
Kamalanathan menambah NGO itu kini berusaha bekerjasama bersama kedutaan dan pihak berkuasa bagi memastikan mayat berkenaan dapat dihantar pulang, namun proses tersebut terbatas selagi majikan enggan memberikan kerjasama.
Ahli keluarga mangsa yang berada di Malaysia juga telah dihubungi untuk pengesahan.
Sementara itu menantu lelaki mangsa, yang hanya mahu dikenali sebagai Manikandan, meminta pihak majikan membantu penghantaran jenazah.
“Dia bekerja di sini lebih dua tahun dengan gaji sekitar RM1,000 sebulan. Kami keluarga miskin, tiada wang untuk menguruskan pengebumian. Kami mohon majikan membantu kami,” katanya.
Ditanya mengenai sebab kematian, keluarga mangsa menyatakan mereka tidak mengetahui motif sebenar kejadian.
