Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bebas menyiasat sebarang dakwaan yang timbul berkaitan bekas setiausaha politik perdana menteri Shamsul Iskandar Md Akin.
Jaminan itu diberikan oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim, kira-kira 17 jam selepas Shamsul meletakkan jawatan lewat petang semalam.
“Berhubung tuduhan yang timbul, saya menegaskan bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia bebas untuk menjalankan siasatan segera, tanpa sebarang campur tangan luar,” katanya.

Anwar berkata kerajaan berpegang pada prinsip ketelusan dan integriti dan memberi ruang kepada proses siasatan mengikut lunas undang-undang.
Malaysiakini semalam telah menghubungi SPRM tetapi tidak mendapat sebarang maklum balas.
Baca:
Tei dakwa beri lebih RM600,000 kepada setiausaha politik kanan PM
Shamsul Iskandar letak jawatanShamsul semalam mengumumkan peletakan jawatan itu di media sosial tidak lama selepas Malaysiakini meminta komennya berkaitan dakwaan menerima RM600,000 daripada ahli perniagaan Albert Tei.
Shamsul berkata dia membuat keputusan itu susulan dakwaan percubaan untuk menyerangnya “dengan perkara yang boleh merosakkan imej kerajaan Madani”.
Dia juga berkata akan mempertahankan dirinya.
Sementara itu, Anwar hari ini berkata menerima peletakan jawatan itu dan berterima kasih atas khidmatnya.

Tei, yang menyerang Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berhubung pembatalan lesen penerokaan mineralnya, membongkar maklumat mengejutkan itu beberapa hari sebelum pilihan raya Sabah.
Tei mendakwa dia memberikan RM629,000 kepada Shamsul atas alasan diyakinkan boleh mendapat kembali wang yang disalurkan kepada ahli-ahli politik di Sabah.
Menurut Tei, dia telah menyusun dokumen setebal lebih 300 muka surat, termasuk tangkapan skrin perbualan WhatsApp dan resit, untuk menguatkan dakwaannya.
Antara lain, dia mendakwa membayar untuk menaik taraf rumah, cerut premium, sut lengkap dan perbelanjaan untuk ke luar negara.
Tei mendakwa dia juga mempunyai bukti wang tunai bertukar tangan: RM20,000 (8 Nov 2023 di Kota Kinabalu), RM100,000 di Kuala Lumpur (24 Nov 2023), RM100,000 di Bukit Puchong (15 Dis 2023), RM50,000 di Kuala Lumpur (22 Jan 2024), RM50,000 di Kuala Lumpur (26 April 2024), dan USD$6,000 di Kuala Lumpur (3 Okt 2024).
