Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MCA: Banjir bukan lagi bencana alam tapi kegagalan urus infrastruktur
Diterbitkan:  Nov 26, 2025 1:32 PM
Dikemaskini: 5:33 AM

MCA mendesak kerajaan dan agensi berkaitan supaya menghentikan sikap “tunggu dan lihat” dalam menghadapi musim tengkujuh, dengan memberi amaran bahawa kelemahan penyelenggaraan infrastruktur menjadikan bencana alam yang sepatutnya boleh dikawal berubah menjadi tragedi buatan manusia.

Naib Presiden MCA, Wee Jeck Seng berkata masalah banjir berulang saban tahun tidak boleh lagi disifatkan sebagai sekadar fenomena cuaca, sebaliknya ia memperlihatkan kelalaian pihak berkaitan dalam mengurus kemudahan awam.

Wee Jeck Seng

"Angka ini jelas menunjukkan pihak berkuasa tidak boleh mengambil pendekatan 'tunggu dan lihat', sebaliknya perlu bertindak lebih awal,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Menurut Wee yang juga ahli Parlimen Tanjung Piai, kegagalan menyelenggara sistem perparitan, memangkas pokok, membersihkan longkang dan memastikan infrastruktur berada dalam keadaan baik hanya menunggu masa untuk “meletup” ketika hujan lebat.

“Situasi yang boleh dikawal akhirnya meningkat menjadi malapetaka akibat kecuaian manusia yang digandakan oleh alam.

"Kita tidak boleh leka, kerana keselamatan dan harta benda rakyat boleh terancam dalam sekelip mata," katanya sambil merujuk kejadian pada 24 November lalu, apabila hujan berterusan lebih 10 jam menyebabkan banyak kawasan di Lembah Klang ditenggelami air.

Kejadian itu turut mengakibatkan beberapa jalan utama sesak teruk, selain pokok tumbang menghempap kenderaan dan tanah runtuh.

Katanya, gangguan itu jelas menjejaskan aktiviti ekonomi serta menambah tekanan kepada orang ramai.

Berdasarkan pemantauan jangka panjang Jabatan Meteorologi Selangor, November dan Disember dijangka mencatat taburan hujan jauh lebih tinggi, antara 250 hingga 380mm pada November dan 210 hingga 310mm pada Disember.

Wee menegaskan keadaan itu membuka pelbagai risiko termasuk banjir kilat, banjir besar, ribut, malah tanah runtuh – justeru tindakan awal perlu dilaksanakan segera.

Sehubungan itu, dia menggesa semua pihak—daripada pasukan respons kecemasan, PBT, JKR hingga jabatan teknikal—sentiasa berada dalam keadaan berjaga-jaga.

Antara langkah segera yang perlu dilakukan, katanya, termasuk:

  • Pemeriksaan dan penambahbaikan sistem perparitan secara menyeluruh

  • Pembersihan longkang berkala

  • Melancarkan laluan air bawah tanah tersumbat

  • Kerja pemangkasan pokok

  • Penilaian keselamatan terperinci terhadap jambatan lama, cerun dan tembok penahan

“Kemudahan awam yang terbiar lama hanya menunggu hujan lebat untuk mendedahkan kelemahan. Ini tidak adil kepada rakyat yang akhirnya menanggung risikonya,” kata Wee.

Dia turut meminta kerajaan tempatan memanfaatkan teknologi digital serta media sosial untuk menyiarkan amaran cuaca, makluman kawasan panas banjir dan penutupan jalan secara lebih pantas agar orang ramai dapat merancang perjalanan.

Selain kerajaan dan agensi yang berkaitan, Wee berkata orang ramai juga perlu meningkatkan kesedaran mereka tentang bencana, termasuk mengelakkan perjalanan tidak perlu ketika cuaca buruk, menjauhi tebing sungai dan cerun, serta menyediakan bekalan kecemasan.

“Jika arahan pemindahan dikeluarkan, semua mesti patuh demi keselamatan diri dan keluarga,” katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS