Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Wartawan diserang: MCA tuntut komitmen ‘kebebasan media’ dari kerajaan

MCA menuntut kerajaan menerjemahkan komitmen mereka terhadap kebebasan media.

Tuntutan itu dibuat setelah seorang wartawan sukan dipukul sehingga cedera dalam kejadian di Kuala Lumpur semalam.

“Kerajaan berulang kali menegaskan komitmennya terhadap kebebasan media. 

“Komitmen itu kini mesti diterjemahkan kepada tindakan tegas,” kata Ketua Penerangan MCA Chan Quin Er.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang semalam, Haresh Deol— pengasas portal TwentyTwo13 — diserang oleh dua individu tidak dikenali berhampiran kawasan komersial di Bangsar, sementara seorang lagi dilapor merakam insiden itu.

Chan Quin Er

Dia ketika itu baru selesai berbincang dengan beberapa rakan sebelum berjalan sendirian menuju ke keretanya.

Motif serangan itu masih belum dipastikan.

Setakat ini, pihak polis menahan seorang lelaki berusia 37 tahun di kediamannya di Cheras, pada jam dua pagi tadi.

Suspek direman tiga hari bagi membantu siasatan bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan.

‘Isyarat membimbangkan’

Dalam kenyataannya hari ini, Chan menggesa polis menjalankan siasatan penuh, telus dan tegas, kerana insiden itu tidak boleh dipandang ringan. 

Menurutnya, serangan itu menghantar isyarat membimbangkan mengenai peningkatan permusuhan terhadap wartawan dan peranan penting yang mereka jalankan.

“Walaupun motif serangan belum jelas, hakikatnya tidak dapat dinafikan bahawa seorang wartawan telah diserang di tempat awam.

Kita tidak boleh meremehkan implikasinya,” katanya dengan tegas.

Sementara itu, Chan juga setiausaha agung Wanita berkata apa yang berlaku mencetuskan kebimbangan mendalam mengenai keselamatan media di Malaysia.

Katanya, kewartawanan penyiasatan harus dilindungi dan digalakkan, bukannya diugut atau disenyapkan, selaras dengan komitmen kerajaan terhadap kebebasan media.

Serangan sedemikian, kata Chan, menimbulkan persoalan mendesak mengenai keselamatan wartawan dan keselamatan umum, selain berpotensi membawa kepada tragedi yang lebih besar.

“Apabila keganasan berlaku secara terbuka, pada waktu siang, ia memberikan gambaran bahawa ruang awam sekalipun tidak lagi selamat.

Ini menjejaskan hak asasi setiap rakyat untuk hidup tanpa ketakutan,” katanya.

Tonggak keempat demokrasi

Chan menegaskan bahawa media adalah tonggak keempat demokrasi — institusi penting yang mengimbangi kuasa eksekutif, pentadbiran dan kehakiman.

“Wartawan mempersoalkan pihak berkuasa, membongkar salah laku, dan menyingkap kebenaran yang mungkin terus tersembunyi. 

“Kerja mereka bukan sahaja bernilai, malah sangat penting dalam sebuah demokrasi yang berfungsi,” katanya. 

Chan turut mengingatkan bahawa serangan terhadap seorang wartawan merupakan serangan terhadap keseluruhan komuniti media.

“Apabila ada pihak yang percaya mereka boleh mengugut atau mendiamkan wartawan — dan melakukannya secara terbuka, di tempat awam — kita harus bertanya, ancaman apa lagi yang mungkin sedang berlaku tanpa pengetahuan kita," katanya.

Dia juga menegaskan kegagalan menangani insiden seperti ini akan menghantar mesej yang salah — yakni bahawa ancaman atau keganasan terhadap wartawan boleh berlalu tanpa tindakan.

“Malaysia tidak boleh bertolak ansur dengan intimidasi terhadap media mahupun keganasan terhadap mana-mana individu,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS