Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PAS pertikai SPRM guna perkataan ‘tohmahan’ terhadap dakwaan Tei
  • Dikemas kini dengan tambahan kenyataan PAS.


Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari mempertikai penggunaan perkataan “tohmahan” terhadap dakwaan terhadap bekas setiausaha politik kanan perdana menteri Shamsul Iskandar Md Akin.

Sambil berkongsi maksud daripada kamus atas talian Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), dia berkata perkataan itu bermaksud “tuduhan yang melulu”. 

“Dengan penuh hormat kepada SPRM, saya ingin bertanya bagaimana pihak SPRM awal-awal lagi menyatakan ia sebagai ‘tohmahan’ dalam keadaan siasatan belum bermula. 

“Kenapa tidak guna perkataan ‘dakwaan’ sebagaimana biasa?” soalnya yang juga anggota parlimen Pasir Mas.

Fadhli Shaari

Dalam tulisan di media sosial sebentar tadi, Fadhli berkata dia bimbang tindakan itu menyebabkan rakyat menjadi ragu-ragu dengan SPRM. 

“Pesan saya kepada penjawat awam yang mempunyai maklumat tentang ‘surat-surat sokongan’ yang lain, simpanlah baik-baik bukti itu jika tidak dapat buat aduan kepada SPRM. 

“Satu masa nanti bila kerajaan ini bertukar tangan, kita bongkarkan,” katanya.

Azam pertahan perkataan ‘tohmahan’ terhadap dakwaan Tei

Terdahulu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mempertahankan penggunaan istilah “tohmahan” terhadap dakwaan terhadap bekas setiausaha politik kanan perdana menteri Shamsul Iskandar Md Akin.

Ketua pesuruhjayanya Azam Baki berkata mereka tetap menggunakan perkataan itu dalam kenyataan media hari ini kerana beranggapan ia membawa maksud yang sama.

“Kami stick (berpegang) kepada tohmahan,” kata Azam dalam jawapannya terhadap soalan Malaysiakini.

Terdahulu Malaysiakini memohon penjelasan berkaitan penggunaan istilah berbeza bagi kenyataan dalam bahasa Melayu dan Inggeris.

Kenyataan media SPRM versi Melayu menggunakan perkataan “tohmahan” sedangkan versi Inggeris pula “allegation” (dakwaan atau tuduhan).

Menurut kamus atas talian Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), tohmahan memberi maksud negatif, iaitu tuduhan berdasarkan syak wasangka serta tuduhan yang melulu.

Sementara itu, penggunaan istilah “tohmahan” turut dipertikaikan warga maya di Facebook SPRM sendiri atas anggapan badan itu membuat keputusan sebelum menyiasat.

Kenyataan SPRM hari ini dikeluarkan bagi mengumumkan pendirian mereka untuk menyiasat segera dakwaan pemberian rasuah oleh ahli perniagaan dikenali sebagai Albert Tei kepada Shamsul Iskandar.

“SPRM akan memanggil pihak yang membuat tohmahan berkenaan iaitu Albert Tei serta pihak yang ditohmah iaitu Datuk Seri Shamsul Iskandar dalam masa terdekat bagi memberi keterangan,” kata Azam.

Tei, yang menyerang Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berhubung pembatalan lesen penerokaan mineralnya, semalam mendakwa memberikan RM629,000 kepada Shamsul selepas diyakinkan boleh mendapat kembali wang yang disalurkan kepada ahli-ahli politik di Sabah.

Shamsul meletakkan jawatan tidak lama selepas Malaysiakini meminta komennya berkaitan dakwaan itu tetapi mendakwa terdapat percubaan menyerangnya untuk merosakkan imej kerajaan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS