Mahkamah Rayuan hari ini mengekalkan satu keputusan bersejarah apabila mengesahkan bahawa individu tanpa kerakyatan berhak untuk berkahwin, kerana tiada peruntukan dalam Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 yang mensyaratkan kad pengenalan nasional bagi tujuan tersebut.
Peguam New Sin Yew, yang mewakili responden dalam kes yang diputuskan pagi ini — melibatkan tiga generasi individu tanpa kerakyatan dari Perak — mengesahkan keputusan panel itu ketika dihubungi Malaysiakini.
Dia berkata individu berkenaan, anak dan cucu kepada Kamaladevi Kanniappan menjadi tidak bernegara berikutan kegagalan Kamaladevi mendaftarkan perkahwinannya dengan seorang lelaki warga Malaysia.
Walaupun mempunyai datuk dan nenek warga Malaysia, Kamaladevi tidak diiktiraf sebagai warganegara kerana ibunya, Letchimee, hanya memiliki sijil lahir dan tidak pernah memiliki kad pengenalan sehingga kematiannya.
“Pengiktirafan bahawa individu tanpa kerakyatan mempunyai hak untuk berkahwin dalam undang-undang kita amat penting kerana perkahwinan, seperti dalam kes ini, mencegah status tidak bernegara berlanjutan merentasi generasi.
“Tanpa hak ini, anak kepada bapa warga Malaysia dan ibu tidak bernegara tidak akan dapat mewarisi kerakyatan bapa dan kekal tidak bernegara.
“Masalah itu akan berlanjutan dalam garis keturunan perempuan keluarga tersebut. Masalah bersifat kafkaesque (aneh) ini sebenarnya boleh dielakkan jika tidak kerana birokrasi (tanpa budi bicara),” katanya, sambil mengesahkan bahawa panel Mahkamah Rayuan yang dipengerusikan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali mengekalkan kerakyatan Malaysia Kamaladevi dan keturunannya seperti diputuskan Mahkamah Tinggi Taiping tahun lalu.
New turut berkata Mahkamah Rayuan turut mendapati individu tanpa kerakyatan itu sebenarnya ialah seorang warganegara melalui “pengoperasian undang-undang” kerana ketua keluarga tersebut ialah seorang warganegara Malaysia.
Keputusan pagi ini dibuat dengan menolak rayuan kerajaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi, selepas panel mendapati tiada “kesilapan boleh dirayu” dalam penghakiman tersebut.
Nazlan, ketika membacakan keputusan panel seperti dilaporkan Malay Mail, berkata setiap individu berhak untuk melangsungkan dan mendaftarkan perkahwinan di bawah Seksyen 27 akta itu.
“Tidak ada apa-apa dalam akta ini yang mensyaratkan kad pengenalan sebagai prasyarat untuk pendaftaran perkahwinan atau yang melarang pendaftaran perkahwinan individu tanpa kerakyatan.
“Keadaan (dalam kes Kamaladevi) ini malang dan kerakyatan melalui pengoperasian undang-undang sepatutnya diperoleh secara automatik ketika lahir.
“Pada pandangan kami, berdasarkan keadaan khusus dan unik kes ini, serta keseluruhan keterangan, responden berjaya pada imbangan kebarangkalian membuktikan bahawa mereka memenuhi syarat Seksyen 1(a) Bahagian II Jadual Kedua Perlembagaan Persekutuan, iaitu salah seorang ibu bapa mereka adalah warganegara Malaysia.
“Sehubungan itu, responden adalah warganegara melalui pengoperasian undang-undang di bawah Perkara 14(1)(b) dibaca bersama Seksyen 1(a) Bahagian II Jadual Kedua Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
Turut bersidang ialah Hakim Azizah Nawawi dan Hakim Azhahari Kamal Ramli.
Sementara itu, peguam syarie Nizam Bashir menegaskan meskipun wujud keputusan seperti dalam kes Kamaladevi, situasinya mungkin tidak sama bagi pasangan Muslim warga asing yang berkahwin di luar negara tetapi menetap di Malaysia — walaupun undang-undang menyatakan kad pengenalan nasional bukan syarat untuk mendaftarkan perkahwinan di sini.
“Agak pelik, Pendaftar Nikah Syariah negeri tidak membenarkan pendaftaran perkahwinan antara warga asing jika tiada seorang pun daripada pasangan itu rakyat Malaysia. Itulah dasar yang digunakan mereka, walaupun undang-undang keluarga persekutuan tidak menghalang perkahwinan yang didaftarkan di luar negara, walaupun pasangan itu bukan warga Malaysia.
“Tapi persoalannya tetap ada. Contohnya dalam kes nafkah anak apabila bapa culas. Dengan dasar sebegini (di mahkamah Syariah), bagaimana kita mahu ke mahkamah Syariah dan meminta mahkamah mengarahkan bapa membayar nafkah kepada anak, jika perkahwinan ibu bapa itu tidak diiktiraf di sini?
“Bagi saya, tidak penting sama ada pasangan itu rakyat Malaysia atau tidak, kerana realitinya kita perlu fokus pada kepentingan terbaik untuk kanak-kanak, yang jika tidak dijaga, sangat memudaratkan anak tersebut,” katanya kepada Malaysiakini, sambil menambah bahawa sistem perundangan mesti mengiktiraf dan melindungi kepentingan kanak-kanak dalam apa jua cara.
