PARLIMEN l Seorang Ahli Parlimen kerajaan tampil mencadangkan agar Kementerian Dalam Negeri (KDN) dipecahkan menjadi dua kementerian berasingan.
Alasan Mohd Sany Hamzan (PH - Hulu Langat) adalah KDN bertanggungjawab terhadap sembilan agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang mempunyai keanggotaan berjumlah 134,000 orang.
Ini berbanding Kementerian Pertahanan yang mempunyai jumlah anggota tentera yang lebih sedikit.

"Kementerian Pertahanan ada satu agensi itu saja. Tapi KDN, polis ni anggotanya berjumlah 134,000 orang dan di bawah KDN ini ada sembilan agensi atau jabatan.
"Saya nak minta kalau boleh KDN ini kita pecah dualah, jadi dua kementerian sebab ada sembilan jabatan yang besar. Sebab saya nak minta kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, kalau boleh pecah dualah kementerian ini.
"Kalau tak ada menteri, ana (saya) ada. Kalau tak boleh pecah, saya nak minta supaya timbalan menteri KDN ada dua orang. Kalau timbalan menteri yang kedua ini pun tak ada orang (calon), ana ada. Sebab saya tengok kementerian ini dah terlalu besar," katanya.
Mohd Sany berkata demikian ketika sesi perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) bagi KDN di Dewan Rakyat, hari ini.
Cadangannya yang bernada berseloroh itu disusuli gelak ketawa oleh beberapa rakan sejawatnya.

Rentetan itu, Ahmad Tarmizi Sulaiman (PN - Sik) bangun mencelah dengan membangkitkan kes jenayah siber yang didakwa melonjak dengan tinggi.
"Jadi bagaimana kementerian nak atasi masalah ini? Ketika mana pihak polis sendiri dia tidak ada alat teknologi yang canggih, data yang nak diakses dengan bank dan sebagainya.
"Jadi macam mana yang dikatakan bakal menteri ini? Nak jawab macam mana? Nak selesaikan masalah setiap hari bertambah ini?" soalnya.
Mohd Sany kemudiannya memberikan respon bahawa perkara itu boleh dijawabnya selepas mengangkat sumpah sebagai menteri nanti.
"Nampaknya sebelah sana (pembangkang) pun memang berhajat untuk saya jadi menteri, ini maksudnya.
"Tunggu lepas saya angkat sumpah nanti jadi menteri, baru saya jawab soalan Sik tadi," katanya lagi.

Untuk rekod, selain PDRM, KDN antaranya juga bertanggungjawab terhadap Jabatan Imigresen Malaysia, Agensi Antidadah Kebangsaan, Jabatan Pendaftaran Negara, Lembaga Penapisan Filem, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan dan Jabatan Relawan Malaysia.
