Polis komited untuk mematuhi keputusan terbaru Mahkamah Tinggi Ipoh bagi memperluas pencarian di seluruh negara terhadap bekas suami M Indira Gandhi, Riduan Abdullah.
Ketua Polis Negara, Khalid Ismail (gambar bawah) berkata pasukan keselamatan akan meningkatkan usaha pencarian sebagai menghormati prinsip undang-undang dan keadilan, serta sebagai tanda penghormatan terhadap autoriti kehakiman negara.
“Polis Diraja Malaysia (PDRM) menegaskan komitmen untuk mematuhi keputusan Mahkamah Tinggi Ipoh, Perak serta akan terus mempergiat usaha mengesan keberadaan anak dan bekas suami kepada Puan Indira Gandhi, selaras dengan prinsip kedaulatan undang-undang dan penghormatan terhadap institusi kehakiman.
“Usaha mengesan Pathmanathan a/l Krishnan @ Muhammad Riduan bin Abdullah masih giat dilaksanakan, termasuk siasatan lanjut terhadap dakwaan kewujudan individu yang disyaki menggunakan identiti tersebut bagi menerima pelbagai bentuk bantuan kerajaan seperti Budi 95 dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA),” katanya pada satu kenyataan hari ini.

Khalid juga berkata pada masa sama, semakan turut dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Imigresen Malaysia bagi mengesahkan status Sekatan Perjalanan Khas (SPK) yang masih berkuat kuasa terhadap individu berkenaan.
“Sejak tahun 2021, sebanyak 18 sesi pengurusan kes telah diadakan di Mahkamah Tinggi Ipoh berkaitan perkara ini, dan sesi pengurusan seterusnya ditetapkan pada 27 Februari 2026.
“PDRM menegaskan bahawa setiap tindakan yang diambil dalam mengendalikan kes ini dilaksanakan secara profesional, telus dan berintegriti demi memastikan keadilan ditegakkan mengikut lunas undang-undang.
“Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang tidak sahih sehingga boleh menjejaskan proses siasatan,” katanya sambil meminta mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan keberadaan suspek untuk tampil membantu siasatan dengan menyalurkan maklumat tersebut kepada balai polis terdekat.

Bulan lalu, Riduan dilaporkan masih berada dalam negara selepas menggunakan subsidi petrol Budi95 dan bantuan Sumbangan Asas Rahmah (Sara).
Pendedahan itu kembali mencetuskan perhatian umum terhadap kes berkenaan, sekali gus mendorong Indira Gandhi Action Team (Ingat) dan beberapa NGO menganjurkan perarakan menuntut keadilan pada 22 Nov.
Pada Sabtu, 22 Nov, Indira dan para penyokongnya berarak dari Sogo ke ibu pejabat polis Bukit Aman di Kuala Lumpur untuk menyerahkan beruang teddy milik anaknya, Prasana Diksa, kepada Ketua Polis Negara — sebagai simbol tuntutan agar anaknya dikembalikan.
Kumpulan itu menunggu di luar ibu pejabat polis hampir empat jam, walaupun Khalid tidak muncul.

Mereka akhirnya bersurai selepas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), M Kulasegaran, yang turut menyertai perhimpunan itu, memberi jaminan bahawa beliau akan membantu Indira menetapkan pertemuan dengan Ketua Polis Negara.
Buat masa ini, tiada pengesahan mengenai tarikh pertemuan yang amat dinantikan Indira itu.
Sejak itu, beberapa pihak mengkritik ketidakhadiran Khalid di hadapan ibu pejabat polis pada Sabtu, termasuk peguam Indira, yang turut menggesa Kementerian Dalam Negeri menegur Ketua Polis Negara.
