PARLIMEN l Ahli Parlimen DAP, Ngeh Koo Ham (Pakatan Harapan–Beruas) mahu kerajaan menjelaskan mengapa siasatan berhubung kes jenayah khianat api ke atas rumahnya pada Januari tahun lalu dihentikan tanpa sebarang pertuduhan.
Bercakap di Dewan Rakyat hari ini, Ngeh berkata dia dimaklumkan bahawa siasatan polis terhadap insiden 10 Jan 2024 itu selesai dalam tempoh enam hari, sebelum kertas siasatan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara (AGC).

Merujuk laporan yang diterimanya daripada pegawai penyiasat kanan tahun lalu, Ngeh mendakwa bahawa selepas meneliti kertas siasatan, timbalan pendakwa raya (TPR) memutuskan tiada saksi yang boleh menyokong kenyataan atau dakwaan kejadian tersebut.
TPR juga didakwa membuat kesimpulan bahawa tiada kesalahan jenayah berlaku dan tiada bukti kukuh untuk mendakwa mana-mana individu, maka kes itu “tidak diteruskan”.
Menurut Ngeh, pendirian TPR itu turut dimaklumkan kepada polis susulan laporan berasingan yang dibuat oleh anggota polis mengenai insiden sama di kediamannya di Taman Semarak Jaya, Ayer Tawar.
“Setelah mengkaji kertas siasatan TPR telah memutuskan tiada saksi yang menyokong keterangan atau dakwaan, permohonan menarik balik polis report diluluskan
“Kenapa laporan polis oleh polis ditarik balik? Tiada sebarang kesalahan jenayah telah berlaku, saya pun kagum.
“Jelas jenayah khianat api telah berlaku, tiada keterangan yang kukuh untuk membuktikan kes terhadap tertuduh dan akhirnya kes tidak diteruskan maksudnya no further action.

“Saya rasa ini tak berapa betul saya harap mendapat penjelasan daripada pihak kementerian adakah ini SOP biasa?” soalnya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2026 peringkat jawatankuasa.
Pada kejadian awal pagi 10 Jan itu, rumah Ngeh dilontar dengan bom botol, menyebabkan kebakaran yang merosakkan tiga buah keretanya, sebuah Mercedes Benz E300, sebuah Honda CR-V dan sebuah Toyota Hilux serta bumbung anjung kediamannya.
Ketika kejadian Ngeh dan isterinya dilaporkan tidur.
Mereka hanya tersedar apabila dikejutkan oleh pasangan yang lalu di depan rumahnya di Ayer Tawar, Ipoh dan membunyikan loceng,
Polis kemudian mengesahkan penemuan botol bom Molotov di lokasi kejadian, dengan siasatan awal mendapati petrol digunakan sebagai bahan pembakaran di kediaman ahli parlimen itu.
Kes tersebut pada awalnya disiasat di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan berkaitan kesalahan khianat dengan api yang memperuntukkan hukuman sehingga 14 tahun penjara dan denda.
Pada 16 Januari, Ketua Polis Perak ketika itu Yusri Hassan Basri dilaporkan berkata seorang suspek yang disyaki membaling bom ke rumah Ngeh akan didakwa di Mahkamah Majistret Seri Manjung keesokan harinya.
Suspek sebelum itu ditahan di rumahnya di Shah Alam, Selangor, dan polis mendapati lelaki berkenaan bukan ahli mana-mana parti politik dan tidak mempunyai hubungan rapat dengan Ngeh.
Namun sehingga hari ini, tiada seorang pun individu yang didakwa berhubung insiden itu.
