Mahkamah Sesyen Sabah menolak permohonan hina mahkamah yang difailkan Albert Tei terhadap Ketua Menteri sementara, Hajiji Noor, selepas bersetuju dengan hujahan kerajaan negeri bahawa permohonan itu terkhilaf dari segi prosedur, tidak berasas dari segi undang-undang dan merupakan satu penyalahgunaan proses mahkamah.
Menurut Peguam Besar Negeri Sabah, Brenndon Keith Soh, perkara itu khususnya kerana Tei sebagai tertuduh tidak mempunyai kedudukan (locus standi) untuk memulakan prosiding hina mahkamah yang berkait dengan kes jenayah.
Soh berkata mahkamah memutuskan bahawa permohonan tersebut cacat secara asas kerana prosiding hina mahkamah di bawah Aturan 52 hanya terpakai dalam hal sivil, bukan kes jenayah.
"Dalam membantah permohonan berdasarkan bantahan awal, kami berhujah bahawa A52 Kaedah-Kaedah Mahkamah (ROC) 2012 hanya mengawal selia prosiding sivil dan bukan perkara jenayah berdasarkan Aturan 1 Kaedah 2(2) ROC 2012.

"Oleh itu, permohonan itu tidak boleh dipertahankan kerana pergantungan Tei kepada A52 ROC 2012 adalah tersilap dan salah di sisi undang-undang.
“Selain itu, menurut Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan dan Seksyen 376 Kanun Tatacara Jenayah, Peguam Negara Persekutuan yang diwakili oleh timbalan pendakwa raya (TPR) mempunyai ‘kawalan dan arahan terhadap semua pertuduhan dan prosiding jenayah’.
“Oleh itu, Tei sebagai orang kena tuduh dalam prosiding jenayah di mahkamah lain bukanlah pemohon yang layak untuk memulakan prosiding hina mahkamah di mahkamah berbeza, kerana peranan itu terletak pada TPR dalam prosiding jenayah tersebut,” kata Soh.
[Baca berita asal]
