PAS berpendapat ketua Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak lagi wajar terlibat dalam siasatan berhubung kes yang didedahkan ahli perniagaan, Albert Tei.
Ketua Penerangan PAS Pusat, Ahmad Fadhli Shaari, berkata hal itu kerana nama pemimpin tertinggi agensi antirasuah tersebut, Azam Baki, disebut dalam klip video terbaru yang dimuat naik hari ini.
Walaupun tidak ada kepastian mengenai dakwaan yang terkandung dalam klip berkenaan, Ahmad Fadhli berkata, Azam serta SPRM dirasakan tidak lagi wajar menjalankan siasatan.
"Seperti yang saya jangkakan semalam, video ini (perbualan Tei dengan seorang wanita) rupa-rupanya ada sambungan. Melintas pula di Facebook saya.

"Kali ini nama Tan Sri Azam Baki disebut. Benar atau tidak kandungan video ini saya pun tiada maklumat.
"Tetapi saya berpandangan sewajarnya Tan Sri Azam dan SPRM tidak lagi terlibat sebagai penyiasat dalam kes ini," katanya dalam hantaran di media sosial.
Terdahulu, sebuah video tular memaparkan seorang wanita — dengan wajah dikaburkan — mendakwa Shamsul telah bertemu Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Azam Baki untuk menyelesaikan kes yang melibatkan ahli perniagaan Albert Tei.
Video itu bagaimanapun tidak menyatakan bila dan di mana pertemuan tersebut didakwa berlangsung.

“Dia (Shamsul) sendiri yang minta kalau boleh ringankan kes kamu, kalau boleh cuba selesaikan sebaik mungkin. Jangan sampai perkara itu berlarut-larut sampai banyak-banyak. Dia tak nak,” kata wanita yang didakwa sebagai proksi Shamsul itu, merujuk kepada skandal perlombongan di Sabah.
Wanita tersebut turut mendakwa Shamsul bertemu Azam kerana dia sendiri turut dikaitkan dengan isu skandal Sabah dan sebenarnya telah dipanggil oleh ketua SPRM itu.
“Dia (Shamsul) jumpa Azam Baki sebab dia pun terbabit.
“Dia cakap dengan saya. Dia cakap masa kes kamu dia pun kena panggil dengan Azam Baki. Dia cakap dengan Azam Baki memang dia ada tolong kamu untuk jumpa (ketua menteri sementara) Hajiji (Noor) apa semua. Dia bagi tahu untuk beritahu Hajiji, dia dengan Azam Baki pun baik bukan dia tak baik,” katanya.

Dalam perbualan yang sama, apabila Tei bertanya jika Shamsul memberitahu Azam bahawa rakaman berkaitan skandal Sabah itu “arahan PMX”, wanita itu menjawab: “Azam tahu”.
Malaysiakini telah menghubungi Azam, Shamsul, wakil Pejabat Perdana Menteri serta pejabat Hajiji untuk mendapatkan komen.
Terdahulu hari ini, SPRM mengumumkan pihaknya akan memanggil kedua-dua Shamsul dan Tei untuk siasatan lanjut berhubung dakwaan rasuah itu.
Semalam, Tei memberitahu Malaysiakini bahawa dia telah membelanjakan RM629,000 untuk Shamsul selepas mendakwa diyakinkan dia boleh mendapatkan semula wang yang disalurkan kepada ahli politik di Sabah.

Antara lain, dia mendakwa membayar pengubahsuaian, peralatan dan perabot untuk dua hartanah — satu di Bangsar dan sebuah kediaman rasmi di Putrajaya.
Tei juga mendakwa membelanjakan ribuan ringgit untuk cerut premium dan menempah beberapa sut untuk pembantu politik itu serta menyerahkan salinan resit tukang jahit beserta ukuran badan.
Selain itu, Tei memberikan Malaysiakini tangkap layar perbualan WhatsApp dari Disember 2023, yang didakwa menunjukkan Shamsul meminta wang semasa melancong ke luar negara.
Susulan dakwaan tersebut, Shamsul mengumumkan peletakan jawatannya sebagai setiausaha politik Anwar tidak lama selepas Malaysiakini menghubunginya untuk mendapatkan respons.
Shamsul juga telah membuat laporan polis terhadap Tei berhubung video mendakwa perdana menteri memberi lampu hijau untuk membuat rakaman rahsia itu.
