PRN SABAH | Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi menjangkakan PRN Sabah ke-17 pada Sabtu ini tidak akan menyaksikan mana-mana parti memperoleh majoriti jelas, sekali gus membuka laluan kepada pembentukan kerajaan campuran.
Dia yang juga Pengerusi BN berkata berdasarkan "bacaannya", persaingan pelbagai parti di kebanyakan kerusi menunjukkan tiada gabungan yang mampu muncul dominan, justeru memerlukan kerjasama politik bagi memastikan kestabilan Sabah.
“Bacaan saya pada 29 hari bulan nanti, kita tahu tidak akan ada satu parti pun yang dominan di Sabah.
“Bacaan saya akan ada kerajaan campuran sekali lagi di Sabah dan kita mahu melihat bahawa kestabilan politik di Sabah ini diberi keutamaan.
“Kita mahu (projek lebuh raya) Pan Borneo Sabah diselesaikan dalam tempoh lima tahun, kita mahu masalah tiga serangkai diselesaikan, iaitu infrastruktur, bekalan elektrik dan juga air … rakyat Sabah layak untuk mendapat jalan raya yang baik, air bersih yang baik dan elektrik yang baik supaya boleh hidup dengan aman,” katanya.
Ahmad Zahid berkata demikian ketika berucap pada majlis ramah mesra bersama masyarakat India Sabah di Inanam semalam.
Katanya walaupun PRN kali ini menyaksikan pertembungan hingga 14 penjuru di beberapa kawasan, proses itu mencerminkan festival demokrasi yang menjadi keunikan Sabah.
Dia juga berkata nilai toleransi kaum dan agama sebagai antara kekuatan utama masyarakat Sabah, malah menyifatkan kadar penerimaan sosial di Sabah dan Sarawak lebih tinggi berbanding di Semenanjung Malaysia.
“Dalam keadaan yang beginilah saya merasakan bahawa sesiapa pun yang akan mentadbir negeri Sabah nanti, yang penting toleransi pelbagai kaum mesti dipertahankan.
“Itulah sebabnya kerajaan Madani yang dipromosikan, yang diuar-uarkan oleh PMX, Yang Amat Berhormat Datuk Seri Anwar Ibrahim, ialah contoh yang terbaik untuk menentukan bahawa kita menghormati pelbagai kaum, pelbagai agama, pelbagai bahasa dan pelbagai budaya. Kerana inilah keunikan, keunggulan masyarakat Malaysia,” katanya.
Mengulas sumbangan masyarakat India di Sabah, Ahmad Zahid berkata peratusan kecil kaum berkenaan bukanlah ukuran, sebaliknya peranan mereka dalam bidang profesional dan perniagaan perlu dihargai sebagai sebahagian daripada pembinaan negeri.
Dalam aspek pendidikan, dia sekali lagi menekankan peranan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dengan sasaran kerajaan untuk memastikan 70 peratus lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) memilih bidang itu menjelang akhir Rancangan Malaysia Ke-13 bagi memenuhi permintaan tenaga mahir pelaburan langsung asing.
Katanya kerajaan komited membuka peluang TVET kepada semua pelajar dari seluruh negara termasuk program penghantaran pelajar ke China dalam bidang berkaitan teknologi.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 29 Nov ini sebagai hari pengundian.
Untuk berita-berita terkini tentang PRN Sabah ke-17, sila layari https://prn.bernama.com/sabah/index.php.
- Bernama
