Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Aksesori brek motor berunsur lucah bukan buatan tempatan - peniaga

TINJAUAN | Isu aksesori brek motosikal berunsur lucah yang tular di media sosial sejak beberapa hari lalu menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pengguna dan masyarakat.

Namun, peniaga aksesori motosikal di sekitar Petaling Jaya menegaskan kedai mereka tidak menjual produk itu.

Kebanyakan peniaga yang ditemui Malaysiakini berkata aksesori sedemikian lazimnya ditempah secara individu dan tidak melalui kedai, selain percaya ia diimport dari negara jiran.

Akratudin, 45, seorang jurujual di sebuah kedai aksesori motosikal berkata barangan seperti itu bukan produk yang dijual meluas di pasaran.

Gambar hiasan.

“Barang begitu orang tempah sendiri, bukan melalui kedai. Kami tak jual sebab nak jaga nama baik kedai,” katanya.

Dia turut menjelaskan harga brek biasa sekitar RM600 hingga RM650, manakala aksesori tempahan khas boleh mencecah ribuan ringgit.

Akratudin bagaimanapun kurang senang dengan trend sebahagian remaja yang mengubah suai motosikal secara melampau.

“Jangan hanya berseronok, kena jaga batasan agama,” tegasnya.

Produk import

Seorang lagi jurujual, Lam, 28, mendakwa isu aksesori lucah bukan perkara baru dan kebanyakan barangan itu datang dari Thailand.

“Mereka ambil dari Thailand, bukan kilang di sini,” katanya.

Menurutnya, kedainya tidak pernah menjual atau menerima tempahan rekaan sedemikian kerana majoriti pelanggannya beragama Islam.

Dalam tinjauan lanjut, Loh Ming Leong, 28, turut terkejut melihat rekaan yang tular, memaklumkan bahawa kedainya tidak pernah menawarkan aksesori sedemikian.

“Gambar atau corak tubuh badan lelaki atau perempuan memang tidak sopan. Kami tak buat ‘custom’ begitu,” katanya.

Beberapa peniaga lain turut memberi amaran tentang risiko keselamatan jika pengguna memilih aksesori berdasarkan rupa semata-mata.

“Baik guna original, sebab aksesori pelik begini tak selamat atas jalan,” kata seorang juruteknik.

Ada juga kedai menolak permintaan pelanggan untuk memasang brek tempahan sedemikian kerana bimbang imej mereka tercemar jika produk itu tular.

“Kalau kita pasang brek lucah, pengguna jalan raya lain pun rasa tak selesa,” katanya.

John Tan, 35, yang bekerja sebagai pegawai pemasaran, melihat rekaan lucah itu sebagai mencerminkan akhlak yang tidak baik.

“Kalau ada permintaan pun, kami akan tolak. Ia tak elok untuk kanak-kanak atau orang tua,” katanya, sambil menambah dia tidak pernah melihat mana-mana kedai di kawasan itu menjual aksesori sedemikian.

Kontroversi itu tercetus selepas Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) mengesahkan sedang meneliti dakwaan penjualan brek motosikal dengan lambang lucah selepas video seorang pomen tular di media sosial.

Pengarah JAWI, Hanifuddin Roslan berkata pihaknya akan bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDN) bagi menyiasat produk yang dianggap tidak sopan dan bertentangan dengan tatasusila masyarakat.

"Jawi turut menasihat para pengeluar dan pengguna agar tidak menggunakan apa-apa lambang lucah pada produk dan barang kegunaan mereka," katanya.

Berdasarkan tinjauan di beberapa kedai sekitar Petaling Jaya, tiada peniaga yang ditemui menawarkan brek motosikal berunsur lucah.

Peniaga percaya aksesori itu dibeli secara individu, bukan melalui rangkaian kedai aksesori tempatan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS