Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
‘Beri fakta, bukan alasan’: Peguam Indira Gandhi hentam jaminan IGP
Diterbitkan:  Nov 27, 2025 11:30 AM
Dikemaskini: 3:30 AM

Peguam yang mewakili M Indira Gandhi membidas kenyataan polis yang memberi jaminan kononnya usaha mencari bekas suaminya, Riduan Abdullah, sedang dipergiatkan.

Dalam kenyataan semalam, peguam Rajesh Nagarajan, menyelar gesaan Ketua Polis Negara Khalid Ismail yang meminta orang ramai supaya “tidak membuat spekulasi”.

“Selepas 16 tahun penuh janji kosong, polis tidak boleh terus meminta orang ramai ‘jangan spekulasi’ sedangkan spekulasi yang mereka berikan selama ini.

“Indira Gandhi dan anak-anaknya telah dikhianati berkali-kali. Sudah tiba masa PDRM henti memberikan alasan dan mula menunjukkan hasil,” katanya.

Semalam, Khalid berkata usaha mengesan Riduan masih berjalan selaras dengan perintah Mahkamah Tinggi Ipoh supaya pencarian diperluas ke seluruh negara.

Antara usaha tersebut, jelasnya, termasuk siasatan terhadap dakwaan bahawa ada individu telah “menggunakan identiti Riduan” untuk menuntut bantuan kerajaan seperti subsidi petrol Budi95 dan Sumbangan Asas Rahmah (Sara).

“Pada masa sama, semakan juga akan dibuat dengan Jabatan Imigresen bagi mengesahkan sekatan perjalanan khas yang masih berkuat kuasa,” tambahnya.

Namun semakan Malaysiakini pada sistem semakan status perjalanan Imigresen malam tadi tidak menunjukkan sebarang sekatan dikenakan ke atas Riduan.

Mengulas kenyataan Khalid, Rajesh menuduh IGP membuat spekulasi yang “amat membimbangkan” tanpa mengemukakan fakta yang menyokong dakwaannya.

“Daripada mengemukakan bukti, IGP membuat spekulasi bahawa ‘orang lain’ mungkin telah menggunakan identiti Riduan, tanpa menunjukkan sebarang siasatan rapi telah dijalankan.

“Langkah asas seperti menyemak rakaman CCTV dan menjejak transaksi sepatutnya sudah selesai berminggu-minggu lalu,” katanya.

Menegaskan bahawa rakyat Malaysia berhak menuntut “tindakan, dan bukannya dongeng”, Rajesh berkata campur tangan badan kehakiman adalah bukti bagaimana siasatan polis selama ini “sempit, tidak berkesan dan tanpa hala tuju”.

Pada 22 Nov, Indira bersama para penyokongnya berarak dari Sogo ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman bagi menyerahkan anak patung atau ‘teddy bear’ kepunyaan anaknya yang hilang, Prasana Diksa, kepada IGP sebagai tuntutan simbolik supaya kanak-kanak itu dikembalikan.

Khalid bagaimanapun gagal hadir, sehingga mencetuskan kecaman beberapa pihak termasuk peguam Indira yang menggesa menteri dalam negeri menegur IGP.

Kenyataan terbaru Khalid turut tidak menyentuh ketidakhadirannya mahupun kesediaannya untuk berjumpa Indira.

Perjuangan Indira bermula pada 2009 apabila bekas suaminya menukar agama anak-anak mereka secara unilateral, menculik Prasana dan menghilangkan diri.

Pada 2013, Mahkamah Tinggi Ipoh membatalkan penukaran agama tiga anak itu kerana dibuat tanpa persetujuan Indira, dan turut memberikan hak penjagaan penuh kepadanya.

Pada 2018, Mahkamah Persekutuan memerintahkan IGP menangkap Riduan kerana mengingkari arahan Mahkamah Tinggi supaya memulangkan Prasana kepada ibunya — perintah yang sehingga kini belum dipatuhi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS