SPRM digesa menyiasat rakaman video yang didedahkan ahli perniagaan Albert Tei yang mengaitkan ketua pesuruhjayanya sendiri Azam Baki, Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan bekas setiausaha politik kanannya Shamsul Iskandar Md Akin.
Ahli politik veteran lantang PKR Hassan Abdul Karim bagaimanapun berkata di sisi undang-undang pada ketika ini masih dianggap sebagai khabar angin.
“Bagaimanapun, SPRM mesti menyiasat video tersebut. Jika ia tulen, maka Azam Baki mesti disiasat.
“Untuk mengelakkan persepsi konflik kepentingan, maka Azam Baki mesti menarik diri daripada sebarang peranan dalam siasatan,” kata anggota parlimen Pasir Gudang.

Hassan berkata demikian ketika menjawab soalan Malaysiakini sama ada Azam patut disiasat atas dakwaan ditimbulkan dan sama ada Shamsul patut digantung oleh PKR.
Semalam, tular video seorang wanita—dengan wajah dikaburkan—mendakwa Shamsul bertemu dengan Azam untuk menyelesaikan kes melibatkan Tei.
Dalam perbualan sama, apabila Tei bertanya jika Shamsul memberitahu Azam bahawa rakaman berkaitan skandal Sabah itu “arahan PMX” (Anwar), wanita itu menjawab: “Azam tahu”.

Wanita dikenali sebagai Sofia Rini Buyong kemudian muncul dalam video lain yang menafikannya sebagai proksi Shamsul Iskandar, selain tidak tidak pernah berjumpa dan atau berbincang dengan Anwar berhubung dakwaan Tei.
SPRM berkata akan memanggil kedua-dua Shamsul dan Tei untuk siasatan lanjut berhubung "tohmahan" rasuah itu.
Sementara itu, Hassan juga berkata jika video itu benar dan tulen, bukan sahaja Azam perlu disiasat tetapi juga Anwar.
“Tiada kekebalan tersedia untuk mana-mana perdana menteri daripada siasatan yang melibatkan sebarang bentuk kesalahan jenayah terutamanya rasuah atau salah guna kuasa,” katanya.
‘Lembaga Disiplin kena panggil Shamsul’
Sementara itu, dalam kes Shamsul pula, Hassan berkata Lembaga Disiplin PKR mempunyai tanggungjawab memanggil bekas pegawai kanan itu bagi menjawab pertuduhan mencemarkan imej parti.
“Sehubungan itu, keadilan semula jadi mesti diberikan kepada Shamsul untuk membela diri. Ruang secukupnya mesti diberikan kepada Shamsul untuk menjelaskan,” katanya.

Tei, yang menyerang Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berhubung pembatalan lesen penerokaan mineralnya, semalam mendakwa memberikan RM629,000 kepada Shamsul selepas diyakinkan boleh mendapat kembali wang yang disalurkan kepada ahli-ahli politik di Sabah.
Menurut Tei, dia telah menyusun dokumen setebal lebih 300 muka surat, termasuk tangkapan skrin perbualan WhatsApp dan resit, untuk menguatkan dakwaannya.
Shamsul meletakkan jawatan tidak lama selepas Malaysiakini meminta komennya berkaitan dakwaan itu tetapi mendakwa terdapat percubaan menyerangnya untuk merosakkan imej kerajaan.
