PRN SABAH | Sekumpulan profesional muda Sabah memberi mesej terus terang kepada rakan sebaya mereka: keluar mengundi pada Sabtu ini, atau berdepan risiko negeri tergadai kepada rundingan pintu belakang parti politik.
Mereka berkata PRN kali ini adalah peluang sekali seumur hidup untuk pengundi muda membawa politik Sabah ke arah baru dan membina sebuah kerajaan tempatan sebenar untuk mempertahankan hak yang dijanjikan selama ini.
Mendahului gesaan itu ialah peguam Isaiah Majinbon yang mengingatkan bahawa pimpinan pemuda semua parti mesti menggunakan pengaruh mereka untuk menghalang ahli politik tempatan daripada berpaling tadah selepas hari mengundi dan membawa semula parti nasional ke dalam kerajaan.
“Ketua-ketua pemuda ada pengaruh besar dalam parti masing-masing. Mereka mewakili suara sekurang-kurangnya satu per tiga atau dua per tiga keanggotaan parti.
“Mereka perlu guna sokongan itu supaya apabila masuk fasa kerjasama dan pakatan selepas PRN untuk membentuk kerajaan, mereka berpegang pada janji,” katanya pada sidang media di Kota Kinabalu, hari ini.
Isaiah mengulas kebimbangan mengenai sesetengah ahli politik mungkin menjadi ‘broker kuasa’ jika keputusan PRN nanti menghasilkan kerajaan rapuh dengan menukar mandat “Sabah didahulukan” demi jawatan dan pengaruh.
Sabah kini mempunyai 1.78 juta pengundi berdaftar, termasuk 533,920 yang berusia antara 18 hingga 29 tahun.
Secara keseluruhan terdapat antara 50 hingga 54 peratus pengundi berumur 18 hingga 39 tahun, sekali gus menjadikan mereka faktor penting dalam pengundian nanti.
Namun hampir 200,000 anak muda Sabah dipercayai sedang belajar atau bekerja di Semenanjung Malaysia dan mungkin tidak pulang mengundi.
Kata kumpulan itu, ia merupakan satu jurang yang boleh menentukan keputusan beberapa kerusi.
Tolak runding parti bukan Sabah
Menurut Isaiah generasinya tidak akan berdiam diri jika ada pemimpin mana-mana parti yang mengkhianati kehendak penduduk tempatan.
“Sama ada mereka bersatu, atau kami yang muda ini akan cari parti lain atau wakil lain yang mengikut kehendak kami dan bersatu dengan parti tempatan saja,” katanya.
Isaiah menambah sejarah politik Sabah yang bergolak masih melemahkan kedudukan negeri itu di depan Putrajaya dalam isu utama, termasuk tuntutan 40 peratus hasil negeri yang tertangguh lama.
“Apabila kita belajar daripada sejarah, kita faham Sabah punya pengalaman politik sangat rendah.
“Isu keupayaan juga perlu kita tangani di Sabah,” katanya.
Bagi Isaiah, sebarang rundingan di antara Sabah dengan kerajaan persekutuan mesti bermula dari posisi yang kuat, bukan sebagai ‘pengemis’.

“Jadi kejelasan dalam perkara ini penting supaya apabila berdepan kerajaan persekutuan, kita berunding dari posisi yang setara, bukan dari posisi meminta apa saja lebihan sisa-susa kerajaan,” katanya.
Pada majlis itu, kumpulan berkenaan melancarkan Perjanjian Komitmen Pakatan Tempatan Sabah – sebuah dokumen yang digerakkan anak muda untuk mendesak parti-parti negeri supaya komited sepenuhnya kepada kerajaan tempatan selepas PRN.
Perjanjian itu menggesa parti-parti berikrar bahawa jika tiada parti memperoleh majoriti mudah, mereka akan menyokong parti tempatan yang memenangi kerusi terbanyak untuk membentuk kerajaan.
Mereka juga menolak sebarang rundingan dengan parti bukan tempatan yang boleh melemahkan mandat Sabah.
Ia juga mengikat parti-parti untuk membentuk kerajaan dua per tiga tempatan jika satu parti tempatan mendapat majoriti bagi menjamin kestabilan.
Di peringkat perlembagaan negeri, perjanjian itu menuntut pengembalian semula Klausa 6(7) Perlembagaan Sabah bagi mengembalikan sepenuhnya kuasa ketua menteri dalam pelantikan, dan menuntut kawalan lebih kukuh terhadap sumber asli Sabah selaras dengan MA63 dan Perlembagaan Persekutuan.
Perkara 6(7) sebelum ini mewajibkan Yang di-Pertua Negeri melantik ketua parti yang memenangi kerusi terbanyak sebagai ketua menteri, tetapi pemansuhannya pada Mei 2023 menyebabkan jika tiada gabungan menang dengan jelas, pelantikan menjadi terbuka kepada tafsiran – sekali gus memberi ruang kepada persaingan, rundingan dan potensi rundingan pintu belakang.
Mereka yang membentangkan dokumen itu berkata ia adalah cerminan harapan yang semakin meningkat dalam kalangan generasi muda Sabah terhadap peraturan lebih jelas menentang lompat parti dan pakatan pascapilihan raya yang melemahkan kehendak pengundi.
