PARLIMEN | Pada 25 tahun lalu, kata seorang ahli parlimen dari blok kerajaan, harga semangkuk mi wantan cuma RM2.50 namun kini ia sudah naik tiga kali ganda iaitu melebihi RM7.
Demikian perbandingan diberikan Tan Hong Pin (PH-Bakri) bagi memberi gambaran betapa kos sara hidup golongan mahasiswa di kampus kian meningkat, namun jumlah pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Naisonal (PTPTN) tidak dinaikan.
Menurutnya, jumlah pinjaman diberikan PTPTN berjumlah RM7,000 setahun dan kadar itu disediakan sejak dia menjejak kaki ke menara gading kira-kira 25 tahun lalu.
"Bayangkan saya juga bekas peminjam PTPTN, waktu itu saya mendapat setiap tahun RM7,000.
“Selepas 25 tahun, hari ini berapakah pelajar-pelajar baru dapat? Sama dari segi jumlahnya iaitu RM7,000 setahun tetapi inflasi berlaku selepas 25 tahun.
“Kalau dulu semangkuk mi wantan harganya RM2.50, hari ini RM7 pun tak dapat, naik lebih tiga kali ganda. Tetapi (jumlah pinjaman) PTPTN tak naik-naik lagi," katanya ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2026 bagi Kementerian Pengajian Tinggi di Dewan Rakyat, hari ini.
Justeru Tan memohon agar PTPTN mempertimbangkan agar jumlah pinjaman tersebut dinaikkan bersesuaian dengan keperluan semasa.
"Keluarkan kalkulator mereka dan naikkan pinjaman yang diberikan kepada peminjam-peminjam yang akan memasuki univeristi nanti.
"Ini penting kerana bagi mereka yang meminjam PTPTN, ia adalah sumber untuk menampung sara hidup dan kos pengajian masing-masing.
“Sekali lagi saya memohon supaya PTPTN memberikan pertimbangan untuk menambahkan lagi (jumlah) pinjaman," katanya.
Sementara itu pada perbahasan sama dia turut menyentuh mengenai pengecualian bayaran balik PTPTN kepada graduan ijazah kelas pertama dalam kalangan pelajar kategori B40 dan M40.
Tan berkata, dasar itu diwujudkan sebagai satu tanda penghormatan dan pengiktirafan kepada mereka yang rajin belajar dan mencapai kecemerlangan dalam pengajian.
Namun, katanya, dasar itu juga secara tidak langsung menjejaskan semangat pelajar dari kategori T20.
"Sebab saya lihat pengecualian ini bukan bersifat kebajikan tetapi bersifat satu penggalakan, maka ia tidak sepatutnya mengecualikan T20 yang mencapai kecemerlangan dalam pelajaran mereka.
"Saya harap nanti apabila dilaksanakan pada tahun depan, kita perbaiki balik supaya pengecualian ini bukan saja kepada B40, M40 tetapi kepada semua pelajar yang telah mencapai kelas pertama," jelasnya.
Tambah Tan, pengecualian itu tidak sewajarnya dihadkan kepada golongan yang susah sahaja memandangkan pelajar dalam golongan B40 dan M40 akan mendapat pendidikan percuma melalui Program Siswa Sulung bermula 2026.
Laporan oleh N Faizal Ghazali, Zarrah Morden, Qistina Nadia Dzulkarnain
