Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Dakwaan rasuah Shamsul Iskandar: NGO hentam kerajaan, SPRM
Diterbitkan:  Nov 27, 2025 5:21 PM
Dikemaskini: 10:15 AM

Sebuah gabungan NGO dan tokoh masyarakat mengeluarkan amaran keras kepada Putrajaya – kepercayaan orang ramai terhadap kerajaan dan SPRM didakwa sudah terhakis sama sekali.

Mereka menegaskan kedua-dua institusi itu tidak lagi boleh diharap untuk menjalankan siasatan adil berhubung skandal rasuah yang mengaitkan bekas pegawai kanan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, Shamsul Iskandar Akin.

Gabungan itu – terdiri daripada C4 Center, Beyond Borders, Pusat Komas, SIS Forum (Malaysia), Bersih, Suaram, Persatuan Pemangkin Daya Masyarakat (Rose), Society for Equality, Respect and Trust for All Sabah (Serata) – turut disertai sarjana bebas S Munirah Alatas, profesor ekonomi politik Terence Gomez dan pengarah filem penyiasatan Mahi Ramakrishnan.

Walaupun Anwar secara terbuka menegaskan SPRM mampu menyiasat “tanpa campur tangan luar”, gabungan itu berkata jaminannya “kosong apabila SPRM sendiri berdepan defisit kepercayaan yang besar”.

“Malah Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki menjadi sasaran protes dan kritikan awam kerana pembabitannya dalam skandal pemilikan saham. Namun begitu, Anwar melanjutkan tempohnya sebagai ketua pesuruhjaya sebanyak tiga kali.

“Bloomberg mendakwa Anwar mengarahkan Azam supaya tidak membuka sebarang siasatan terhadap (bekas pembantu lain) Farhash (Wafa Salvador Rizal Mubarak) atas pembelian saham yang mencurigakan dan sebaliknya menyiasat bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dan anak-anaknya serta bekas menteri kewangan Daim Zainuddin.

“Anwar menafikan dakwaan itu dan kertas siasatan terhadap Bloomberg atas fitnah jenayah telah dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara.

“Namun, kes itu kemudian diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut kerana kekurangan bukti,” menurut kenyataan itu.

Skandal rasuah Sabah

Gabungan itu menyorot apa yang mereka sifatkan sebagai sikap pilih kasih SPRM, merujuk kepada cara badan itu mengendalikan skandal rasuah Sabah – apabila hanya dua daripada 15 ahli politik yang dikaitkan telah didakwa, sedangkan sembilan lagi bertanding dalam pilihan raya negeri akan datang.

“Dengan keadaan sebegini, adakah masih wujud kepercayaan terhadap kerajaan Madani bahawa ia akan bertindak secara berkecuali dan telus memaklumkan dapatan siasatan kepada orang awam,” soal gabungan NGO itu.

Skandal perlombongan di Sabah terus berdepan dakwaan mengejutkan apabila Malaysiakini pada Selasa melaporkan ahli perniagaan Albert Tei mendakwa dia membelanjakan RM629,000 ke atas Shamsul selepas kononnya Tei dijamin bahawa dana itu boleh diperoleh semula daripada ahli politik Sabah yang dituduh menerima suapan bagi mendapatkan lesen mineral.

Dua video tular kemudian muncul, memaparkan seorang wanita yang didakwa bertindak sebagai proksi Shamsul.

Dia mendakwa Shamsul menasihati Tei supaya membuat rakaman rahsia perbualan bersama ahli politik Sabah dan rancangan itu mendapat restu Anwar, dengan Azam didakwa mengetahui perkara tersebut.

Wanita itu kemudian menafikan dakwaan berkenaan, menyifatkannya sebagai konspirasi terhadap Shamsul dan Anwar.

Dalam perkembangan berkaitan, gabungan NGO berkenaan menyifatkan dakwaan itu sebagai “mengejutkan” dan menuntut siasatan penuh serta telus.

NGO berkenaan juga menggesa kerajaan menunaikan janji reformasi supaya penyalahgunaan kuasa politik tidak berulang.

Kenyataan itu turut menyebut Shamsul – yang meletakkan jawatan sebagai pembantu Anwar pada hari sama laporan Malaysiakini diterbitkan – sebelum ini dikritik kerana mengeluarkan surat sokongan pada 2024 untuk kontraktor terlibat projek hospital.

“Perlu diperhatikan bahawa Anwar merasakan memadai hanya menegur Shamsul atas tindakannya mengeluarkan surat sokongan dalam proses perolehan kerajaan.

“Bukankah cubaan mempengaruhi proses perolehan kerajaan – lebih-lebih lagi apabila Shamsul bekerja secara langsung dengan salah seorang individu paling berkuasa dalam negara – merupakan perbuatan rasuah yang jelas?

“Adakah teguran lembut dan sambil lewa Anwar itu mencerminkan tadbir urus telus dan berakauntabiliti yang sering dilaungkannya?

“Jika bukan kerana pendedahan terbaru Tei, adakah Shamsul akan terus kekal sebagai setiausaha politik Anwar," soal mereka.

Gabungan itu berkata dakwaan-dakwaan ini mencerminkan budaya kebal undang-undang yang sudah sebati dalam kepimpinan kerajaan Madani.

NGO berkenaan juga mendakwa meskipun Anwar sering berikrar tentang usaha membanteras rasuah, ramai lantikan dan individu rapat dengan perdana menteri itu tetap tercemar skandal namun masih memegang jawatan berpengaruh, termasuk Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Abdul Aziz; Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail; dan Hakim Mahkamah Persekutuan Ahmad Terrirudin Salleh.

“Anwar mengambil alih jawatan perdana menteri dengan platform sifar toleransi terhadap rasuah, serta prinsip tadbir urus baik sebagai keutamaan.

“Kenyataan-kenyataan ini kini kelihatan sangat bercanggah dengan realiti kerajaan Madani yang semakin tenggelam dalam satu demi satu skandal – ramai daripadanya berlaku dalam tempoh setahun ini sahaja.

“Skandal perlombongan Sabah, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), inisiatif Parkir Pintar Selangor, pembebasan pemimpin Bersatu Adam Radlan Adam Muhammad, dan DNAA (pembebasan tanpa pelepasan) bekas perdana menteri Najib Abdul Razak.

“Kes-kes ini memperlihatkan kekurangan akauntabiliti dan ketelusan yang kronik. Secara keseluruhan, kerajaan Madani gagal memberikan penjelasan atau penyelesaian yang munasabah dan memadai untuk membawa perubahan bermakna dalam tadbir urus,” tambah mereka.

Reformasi struktur diperlukan

Gabungan itu turut merujuk kepada Strategi Anti-Rasuah Nasional (NACS) 2024-2028, dengan kerajaan Madani mensasarkan Malaysia berada dalam kelompok 27 negara teratas dalam Indeks Persepsi Rasuah Transparency International menjelang 2028. Tahun ini, Malaysia berada di kedudukan 57.

“Dengan siri skandal rasuah dan kegagalan tadbir urus yang seakan tidak berkesudahan ini, mampukah sasaran itu dicapai,” soal mereka.

Kumpulan itu menegaskan Malaysia perlu segera melaksanakan reformasi struktur untuk menghalang penyalahgunaan kuasa. Mereka menggesa dilaksanakan:

  • Penghapusan kuasa eksekutif ke atas SPRM, termasuk kuasa perdana menteri melantik ketua pesuruhjaya;

  • Pemisahan Pejabat Peguam Negara dan pendakwa raya, bagi memastikan pendakwa raya benar-benar bebas;

  • Penggubalan Akta Pembiayaan Politik, termasuk kewajipan laporan awam semua dana politik serta larangan penuh ke atas sumbangan korporat dan penderma tanpa nama.

“Tanpa reformasi asas ini, skandal rasuah sebesar (atau lebih besar daripada) apa yang berlaku sekarang akan terus berulang.

“Tanggungjawab seluruh kerajaan ialah membalikkan budaya kebal undang-undang, kegagalan akauntabiliti, dan kelewatan reformasi. Rakyat Malaysia berhak mendapat yang lebih baik,” kata mereka mengakhiri kenyataan itu.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS