Mayat pempengaruh wanita warga Taiwan Hsieh Yun Hsin, 33, yang ditemui mati di sebuah hotel di Kuala Lumpur pada 22 Okt lepas telah pun dituntut pihak kedutaan.
Perkara itu dimaklumkan Ketua Polis Kuala Lumpur, Fadil Marsus dalam satu kenyataan ringkas kepada media petang ini.

"Untuk makluman rakan media, mayat mangsa telah dituntut oleh pihak kedutaan (Taiwan)," katanya dalam kenyataan itu.
Pada 4 November lalu, polis telah mengklasifikasikan semula kematian pempengaruh itu sebagai kes bunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
“Untuk makluman laporan sebelum ini diklasifikasi sebagai SDR (mati mengejut) terhadap seorang warganegara Taiwan yang dijumpai mati di Banyan Tree Hotel Kuala Lumpur pada 22 Oktober lalu telah diklasifikasikan semula sebagai kes bunuh.
“Siasatan lanjut kes sedang dijalankan,” katanya.

Walaupun kenyataan polis itu tidak menamakan mangsa tersebut, kes itu dipercayai dikaitkan dengan pempengaruh Hsieh Yu-hsin, yang dikenali dalam talian sebagai Iris Hsieh atau "Dewi Jururawat".
Kematiannya menarik perhatian meluas selepas laporan muncul bahawa dia sedang mengusahakan projek video dengan penyanyi rap Malaysia Namewee sebelum ditemui mati.
Susulan itu polis turut menahan reman Namewee bagi menjalankan siasatan lanjut kematian pempengaruh berkenaan.
Sebelum itu, Namewee, yang nama sebenarnya Wee Meng Chee, juga ditangkap di hotel yang sama dan kemudian didakwa atas kesalahan memiliki dan menggunakan dadah.
Semalam media melaporkan, jaminan polis terhadap Namewee disambung selama 14 hari lagi bermula esok hingga 10 Dis ini.
Jaminan disambung memandangkan pihak polis masih menunggu laporan toksikologi dan bedah siasat berhubung kematian pempengaruh itu pada 22 Okt lepas.
