Bekas timbalan presiden PKR, Rafizi Ramli menyuarakan kebimbangan terhadap budaya parti kerajaan menggunakan jentera dan agensi kerajaan semasa kempen pilihan raya – sesuatu yang menurutnya pernah ditentang keras PH ketika BN berkuasa.
Rafizi berkata amalan lama itu kini berulang selepas pembentukan kerajaan perpaduan.
Menurutnya, program berskala besar oleh agensi kerajaan di kawasan panas setiap kali pilihan raya berlangsung memberi gambaran seolah-olah tiada reformasi berlaku.
“Sejak kerajaan perpaduan dibentuk pada 2022, saya perasan satu trend yang tak sedap. Setiap kali ada kempen pilihan raya, agensi-agensi kerajaan mula berlumba-lumba buat program di kawasan panas.

“Khemah besar, makan percuma, nampak ramai orang. Bukan sebab kekuatan hujah, tapi sebab jentera kerajaan bergerak sekali.
“Perbandingan dengan pengalaman saya di PRK Sungai Bakap: saya datang sorang-sorang, ada timbalan menteri lain datang dengan outrider, kereta rasmi, siap agensi ikut konvoi.
“Ini bukan perkara kecil, tetapi simptom masalah yang sama kita lawan selama 20 tahun lawan BN dulu,” katanya pada hantaran di Facebook.
Rafizi sekaligus memberi isyarat kegagalan mengekang budaya penyalahgunaan jentera kerajaan boleh menjejaskan kredibiliti reformasi yang dijanjikan.
Bersih turut keluar amaran
Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) pada kenyataan hari ini menyeru rakyat Sabah untuk berdiri tegas menolak politik wang sepanjang kempen pilihan raya negeri kali ini.
"Pemerhatian kami mendapati hampir 50 kejadian yang boleh diperhatikan sebagai kesalahan pilihan raya.
"Sebahagian besar kesalahan yang direkodkan melibatkan penjamuan, pemberian hadiah dan barangan — termasuk bakul makanan, barangan dapur dan bentuk pemberian lain seperti program isi minyak motor percuma — yang jelas digunakan untuk mempengaruhi undi pengundi secara rasuah dan penyogokan.
“Walaupun sering dibalut sebagai “bantuan” atau “inisiatif kebajikan”, pemberian seperti ini semasa tempoh kempen adalah satu bentuk penganuan yang melunturkan integriti pilihan raya,” katanya.
Bersih berkata pasukan pemantaunya telah melaporkan banyak kejadian di mana jentera dan program kerajaan persekutuan dan negeri dimanfaatkan bagi tujuan politik.
“Termasuk pengagihan bantuan oleh agensi kerajaan, penyerahan geran tanah kepada rakyat oleh calon-calon daripada parti kerajaan negeri, pengumuman peruntukan dan penggunaan program rasmi kerajaan untuk menonjolkan calon tertentu.
"Tindakan ini bukan sahaja memberi kelebihan tidak adil kepada pihak pemerintah, tetapi turut mengaburkan garisan penting antara urusan kerajaan dan kempen parti," kata gabungan NGO itu lagi.
Rakyat anggap sama saja – Rafizi
Sementara itu, Rafizi menegaskan persepsi rakyat boleh berubah jika parti-parti yang pernah memperjuangkan reformasi kini mengulangi gaya lama.
"Kalau dulu kita marah bila BN guna agensi dan kenderaan kerajaan untuk kempen, hari ini bila kita buat cara yang sama, rakyat tengok dan buat rumusan: '2 kali 5, 5 kali 2.'
"Kalau orang yang kita undi atas nama reformasi pun mula ikut gaya lama, apa lagi harapan yang tinggal untuk rakyat biasa," soal bekas menteri ekonomi itu.
