Muak selepas berdekad-dekad hidup tanpa asas perkhidmatan, dua kampung di pedalaman Sabah mengambil langkah luar biasa – menyaman bekas wakil rakyat dan kepimpinan negeri selepas mendakwa rayuan mereka selama bertahun-tahun tidak dilayan.
Penduduk Kampung Sonsogon Makatol Darat di Kota Marudu dan Kampung Minusoh di Tongod menamakan Hendrus Anding (penyandang kerusi DUN Tandek), Masiung Banah (Kuamut), ketua menteri sementara Hajiji Noor, Pejabat Ketua Menteri dan kerajaan Sabah sebagai defendan.
Ketiga-tiga pemimpin itu kini mempertahankan kerusi masing-masing di bawah Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dengan Hajiji sekali lagi bertanding di kerusi DUN Sulaman.
Kedua-dua kampung terbabit terletak dalam dua daripada lapan daerah termiskin di Malaysia, iaitu Kota Marudu dan Tongod.
Saman difailkan hanya beberapa hari sebelum pengundian berlangsung, namun penduduk menegaskan ia bahkan mencerminkan tempoh pengabaian yang terlalu lama dialami mereka.
Bagi penduduk terbabit, keputusan yang diambil itu bukan soal politik tetapi isu hidup.
Sabah akan mengundi pada 29 November, Sabtu ini.
Di Minusoh, selepas bertahun-tahun menunggu akhirnya harapan bertukar menjadi putus asa. Wakil kampung, Lius Meliton, berkata saman itu adalah pilihan terakhir selepas puluhan tahun rayuan mereka tidak berjawab.
“Ia bukan kerana terdesak dan bukan soal politik. Ini hak perlembagaan kami sebagai rakyat Sabah. Kami bukan datang suka-suka. Kami datang sebab kami sudah sampai tahap tak tahan,” katanya.

Lius dipercayai merujuk kepada Perkara 5 dan Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan yang menjamin hak hidup, maruah dan layanan sama rata di sisi undang-undang.
Peguam mereka pula berhujah kerajaan negeri memikul tanggungjawab secara langsung terhadap kemudahan infrastruktur luar bandar di bawah Jadual Kesembilan, menjadikan saman itu bersandar bukan saja pada derita hidup harian tetapi juga kewajipan perlembagaan.
Menceritakan kesukaran yang dialami selama ini, Lius berkata jika berlaku kecemasan, hospital yang terdekat terletak di Sandakan dan untuk sampai ke situ mereka perlu melalui perjalanan selama tujuh jam merentasi Tongod dan Beluran.
Pokok hanyut, hubungan terputus
Katanya, setiap perjalanan boleh menelan belanja antara RM500 hingga RM600 dan itu merupakan jumlah yang mustahil untuk sebahagian besar penduduk kampung yang hidup miskin.
“Kami selalu diberitahu, ‘tunggu’ atau ‘bersabar’. Tapi tidak ada apa-apa yang berlaku,” katanya.
Sementar aitu jauh di pedalaman Kota Marudu pula terletaknya petempatan Sonsogon Makatol Darat yang tidak kurang suramnya.
Kampung itu tiada jalan, tiada jambatan, dan tiada akses kenderaan. Penduduk berjalan di lorong dalam hutan yang sempit selama berjam-jam semata-mata untuk sampai ke petempatan terdekat.
Dari pondok polis paling hampir, perjalanan ke arah kampung tersebut memakan masa lebih dua jam jika berjalan, dan satu pusingan pergi-balik boleh menghabiskan satu hari suntuk.

Apabila air sungai melimpah, sebatang batang pokok tumbang yang menjadi satu-satunya ‘jambatan’ mereka hanyut, lalu terputuslan hubungan kampung itu sepenuhnya.
Jaikon Majumban yang keluar dari kampung itu untuk memberi keterangan berkata, saman berkenaan menggambarkan kekecewaan terkumpul selama bertahun-tahun dan rasa diabaikan oleh setiap kerajaan yang silih berganti.
“Kami sudah tak ada cara lain dan semua pilihan tertutup. Kami terpaksa datang sebab kami masih manusia yang ada maruah,” katanya.
Dia kemudian bercakap terus terang tentang bagaimana mereka dilayan yang diberikan selama ini.
“Kami diperlakukan macam orang utan. Berapa ramai pemimpin sudah bertukar, tapi kami tak pernah dilihat sebagai manusia oleh mereka,” katanya.

Kampung itu, tambahnya, sudah wujud lebih dari 10 generasi.
“Kami lahir di sana, kami mahu mati di sana, dan kami mahu dikebumikan di sana,” katanya.
Kedua-dua komuniti berkata janji yang sama dikitar semula lebih dua dekad. Jalan raya tidak muncul, bekalan air kekal tidak dirawat, bekalan elektrik dan talian komunikasi juga tiada.
Di Sonsogon, mereka hanya bergantung kepada perkhidmatan perubatan udara.
Justeru menjelang hari mengundi pada Sabtu ini, penduduk Minusoh menuntut kejujuran daripada parti-parti politik.
“Jangan buat janji kosong hanya untuk undi. Cukup-cukuplah. Kalau janji kamu tidak ditunaikan, kami akan bangkit. Kami tidak akan diam lagi,” kata Lius.
Dokumen mahkamah menunjukkan saman itu difailkan melalui Tetuan Nohin and Partners, firma guaman yang mewakili kedua-dua kampung.
Mereka memohon deklarasi mahkamah bahawa pemimpin Sabah memikul kewajiban perlembagaan dan fidusiari terhadap komuniti anak negeri, selain perintah mandatori supaya kerajaan akhirnya menyediakan infrastruktur asas yang mereka dakwa dinafikan turun-temurun.
