Ada dua debaran yang bakal muncul menjelang berakhirnya kempen Pilihan Raya Negeri Sabah tepat jam 11.59 malam, 28 November ini. Pertama gabungan parti manakah yang berjaya membentuk Kerajaan Negeri Sabah bagi penggal ke-17 setelah menyaksikan pertembungan pelbagai penjuru di setiap DUN.
Gabungan Rakyat Sabah (GRS), BN dan Pakatan Harapan (PH) sedang berusaha semaksimum mungkin untuk menawan hati pengundi selain pertandingan yang disertai secara solo oleh Parti Warisan Sabah, Upko, Star, KDM dan pelbagai parti tempatan lain. Justeru, keputusan PRN kali ini menjadi perhatian umum baik dalam dan luar negara.
Kedua, sejurus selepas PRN Sabah, dijangka Perdana Menteri, Anwar Ibrahim akan menyusun semula kabinet pimpinannya. Umum sedia menyedari akan kekosongan beberapa kerusi kabinet Madani sejak bekas timbalan presiden PKR, Rafizi Ramli dan pasukannya termasuk bekas naib presiden PKR Nik Nazmi Nik Ahmad tewas dalam pemilihan parti pertengahan tahun ini. Maka Rafizi dan Nik Nazmi berundur dari kabinet Madani selaku menteri ekonomi dan menteri sumber asli dan kelestarian alam.
Kemudian, menuju penamaan calon PRN Sabah ke-17, Presiden Upko, Ewon Benedick yang merupakan parti komponen PH meletakkan jawatan sebagai menteri pembangunan usahawan dan koperasi dan membawa Upko keluar daripada PH. Justeru kini berlaku tiga kekosongan dalam kabinet Madani. Selain itu, tempoh khidmat Tengku Zafrul Tengku Abd Aziz sebagai ahli Dewan Negara bakal tamat sepenuhnya (merangkumi dua penggal) menyebabkan hampir pasti kedudukan menteri pelaburan, perdagangan dan perindustrian itu bakal kosong.
Maka sekurang-kurangnya empat posisi dalam kabinet ini bakal diisi oleh PM Anwar sejurus selesai PRN Sabah. Dipercayai bahawa, keputusan PRN Sabah juga akan menjadi asas kepada penyusunan semula kabinet Madani kelak bagi memastikan kestabilan politik dan pembangunan negara dapat berjalan seperti yang diharapkan ketika pembentukan Kerajaan Perpaduan.
Pun begitu, adakah rombakan ini melibatkan empat posisi yang sedia ada kosong sahaja? Atau adakah portfolio lain juga akan mengalami perubahan? Anwar ketika mengulas ura-ura rombakan kabinet beberapa minggu lalu menyatakan bahawa rombakan kali ini tertumpu kepada mengisi kekosongan yang ada sahaja. Logiknya, memang boleh Anwar menyenaraikan dua ahli parlimen dari PKR, seorang dari Umno dan seorang ahli parlimen dari Sabah bagi mengisi kekosongan yang ada, ia tidak mengubah formasi yang Anwar susun selepas almarhum Salahuddin Ayub meninggal dunia.
Namun mahu tidak mahu, untuk memastikan keseimbangan dan perihal kekananan (senioriti) dalam parti, Anwar perlu melibatkan menteri yang lain juga. Apakah Anwar tidak mahu menggunakan peluang yang ada untuk memperbaiki kelemahan yang timbul sejak kabinet ini dibentuk dahulu? Dalam tempoh sebelum ini, Anwar sendiri tentu menyedari menteri manakah yang benar-benar kompeten, menteri yang bagus tetapi perlu portfolio yang sesuai atau memang ada menteri yang tidak mampu berada dalam kabinet Madani. Anwar pasti menyedari bahawa kabinet yang bakal disusun kali ini merupakan kabinet untuk menghadapi PRU ke-16. Jika Anwar membiarkan kabinetnya berada dalam keadaan tempang seperti apa yang orang awam akui sekarang, bererti pengerusi PH itu mahu menyertai PRU sebagai pemerintah yang lemah.
Modal buat pembangkang
Adapun bukan soal PH tidak akan menggunakan jentera kerajaan bagi memenangi PRU nanti sebab itu keadaan kabinet Madani tidak mempengaruhi PRU, sebaliknya prestasi dan keupayaan menteri dalam kabinet Madani akan menjadi kayu ukur sama ada rakyat akan kekal memberi kepercayaan kepada PH dan BN sebagai tunjang ataupun memilih pembangkang yang sedang menunggu masa membaham Madani.
Anwar tidak boleh menyediakan modal kempen PRU kepada pembangkang yang berbentuk memburukkan kerajaan seperti kelemahan besar menteri-menterinya. Sekurang-kurangnya buat masa ini Anwar mempunyai peluang untuk membetulkan keadaan dan meminimumkan kelemahan tersebut melalui rombakan kabinet. Jika isu kestabilan politik menjadi risiko besar selepas penyusunan semula, hari ini juga Madani sedang mengalami fasa surutnya dalam politik, maka seharusnya ruang yang ada digunakan untuk membentuk kabinet yang menstabilkan kerajaan Madani.
Menyebut perihal pembangkang, amatlah diyakini bahawa mereka sedaya upaya membina momentum yang pernah memuncak semasa tahun 2022 itu. Mengikut trend semasa, pembangkang akan terus menggunakan isu agama dan kaum sebagai asas modal kempen mereka. Dalam keadaan DAP berada dalam kerajaan, pembangkang dipercayai akan menggunakan pelbagai isu dan keadaan untuk dipersepsikan sebagai isu kaum dan agama bagi meningkatkan sokongan orang melayu kepada mereka.
Walaupun mereka sedar, dengan sokongan menyeluruh orang melayu Islam sahaja, pembangkang tetap gagal membentuk kerajaan nanti, namun baki yang diperlukan untuk membentuk majoriti mudah pasca PRU boleh ditagih melalui parti-parti minoriti yang menang. Nasib menyebelahi PH pasca PRU 2022 apabila mengungguli kedudukan pertama meninggalkan PN dan BN. Justeru PH diberi mandat mengetuai kerajaan.
Sebaliknya, apa akan berlaku jika isu kaum dan agama terus diperhebat sebagai peluru menikam Madani? Masih berpeluangkah PH mendapat tempat pertama selepas PRU16? Jika posisi itu beralih kepada PN maka PN yang akan mengetuai kerajaan sama ada secara menyeluruh ataupun campuran.
Justeru itu, maka sewajarnya kabinet Madani mempunyai seorang menteri yang mampu menangkis pelbagai tohmahan pembangkang khususnya yang disaluti bingkai agama. Seorang menteri yang bukan hanya berilmu dalam bidang agama, sebaliknya mahir dalam sepak terajang politik untuk berpencak silat dengan pembangkang. Hakikat yang perlu diterima, apabila serangan pada kerajaan berbentuk politik, maka seharusnya jawapan balas juga mestilah dalam bentuk politik yang bersendikan ilmu agama. Dengan cara itu, isu politik berjaya dikawal secara politik.
Adakah kita tidak menjangkakan bahawa sentimen kaum dan agama akan menjadi lebih kuat dan deras menuju PRU ke-16? Oleh itu, seorang menteri yang mempunyai kedalaman ilmu agama dan kaya dengan pengalaman politik mesti diserap masuk dalam kabinet Madani bagi memastikan sentimen kaum dan agama mampu dibendung lebih awal, tersusun dan berkesan. Seorang yang berpengalaman sebagai anggota pentadbiran mesti menjadi pertimbangan agar kelemahan dalam pemerintahan Madani yang berbaki dua tahun ini mampu dikurangkan.
Hujahan ini adalah semata-mata untuk memastikan PH kekal menerajui kerajaan selepas PRU ke-16 manakala Anwar menjadi PM bagi penggal kedua. Menyusun semula kabinet Madani dengan mengambil kira menteri yang lemah atau kompeten serta meletakkan seorang menteri yang mampu memperkasakan roh Islam dalam Madani merupakan langkah yang perlu agar PH memasuki PRU sebagai pemerintah yang gah dan diyakini rakyat.
ABDUL JALIL IBNU adalah pemerhati dan penulis politik.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
