PRN SABAH | Selama berdekad-dekad, penduduk Pulau Gaya mengundi secara konsisten untuk BN, menjadikan pulau itu antara kubu sokongan paling setia gabungan tersebut di pesisir Kota Kinabalu.
Corak itu berubah pada 2018 apabila Warisan berjaya menawan pulau tersebut, yang merupakan sebahagian dari kerusi Tanjong Aru, di tengah-tengah peralihan politik lebih besar di Sabah.
Ketika Sabah menuju pertandingan sembilan penjuru di Tanjong Aru, para pengundi di pulau itu berkata mereka kini menilai semula kesetiaan politik masing-masing.
Warisan masih mengekalkan sokongan di beberapa bahagian pulau namun perbualan di seluruh Pulau Gaya menggambarkan suasana politik yang lebih berbelah bahagi, dibentuk oleh kesusahan jangka panjang dan harapan yang bertambah.

Ramai kini bercakap mengenai keperluan untuk barisan politik Sabah yang lebih kuat dan dipimpin secara tempatan, dengan merujuk kepada model tadbir urus berasaskan lokal yang dilaksanakan di Sarawak.
Pulau Gaya, yang dahulunya merupakan satu penempatan tunggal dikenali sebagai Kampung Gaya Asli, sudah sekian lama mencerminkan perpecahan politik negeri itu.
Seiring perubahan masa, khususnya ketika era BN, pulau tersebut terpecah menjadi enam kampung — Lok Urai, Kasuapan, Lobong, Tanjung Sendian, Gaya Asli dan Torong Logong — masing-masing dengan jaringan dan kelompok sokongan sendiri, termasuk pada kali ini untuk Parti Solidariti Tanah Airku (Star) yang sering dikaitkan dengan penguasaan Kadazan Dusun di kawasan pedalaman.
Penduduk pulau ini terdiri daripada komuniti Bajau Ubian, Kadazan dan masyarakat pesisir, serta pelarian yang melarikan diri daripada pergolakan di selatan Filipina pada tahun 1970an dan kemudian pendatang tanpa dokumen.

Perubahan demografi ini menyumbang kepada stigma berpanjangan, dengan penduduk tanah besar sering menggambarkan Pulau Gaya sebagai tidak selamat atau sarang jenayah — imej yang menurut penduduk tidak lagi mencerminkan realiti hari ini.
Tokoh masyarakat setempat Saimah Abdul Salam, yang melalui pelbagai kitaran politik berkata terdapat kecenderungan semakin kuat ke arah keputusan politik yang digerakkan secara tempatan dalam pilihan raya kali ini.
“Kami tidak menentang orang dari Malaya. Kami cuma mahu pemimpin dari sini. Seperti Sarawak. Betapa mereka aman, betapa berjayanya mereka. Kami pun mahu jadi seperti itu,” katanya.
Pandangan pemimpin komuniti memiliki pengaruh besar terhadap penduduk pulau, kata Awang Rosdi, 53.

“Kami ikut ketua kampung. Kalau dia boleh bawa suara kami, kami ikut dia. Kami tidak perlukan kempen besar-besaran,” katanya.
Namun, dia mengakui perbincangan mengenai autonomi politik Sabah semakin meningkat.
“Orang bercakap sekarang. Mereka kata Sabah patut jadi seperti Sarawak, dengan parti-parti tempatan bersama. Terlalu lama kita bergantung kepada Kuala Lumpur,” katanya.
Bagaimanapun, cita-cita sebegitu sering terhalang oleh realiti harian yang lebih mendesak.

Awang, seperti ramai penduduk Pulau Gaya mencari rezeki sebagai nelayan dan punca pendapatannya itu kini merosot teruk.
“Saya jadi nelayan sejak muda. Ayah dan datuk saya juga nelayan. Tetapi ikan makin sikit sekarang,” katanya.
Hasil tangkapan yang berkurang bermakna pendapatan semakin sedikit dan ini membawa masalah lain di pulau tersebut.
Walaupun pulau itu hanya beberapa minit dari Kota Kinabalu, pembangunan perkhidmatan asas cukup perlahan.

Bekalan elektrik hanya sampai ke Pulau Gaya ketika Shafie Apdal menjadi menteri pembangunan luar bandar dan Wilayah Persekutuan di bawah BN.
Penduduk berkata kemajuan sejak itu sangat terhad. Bekalan air kekal menjadi masalah paling berterusan di pulau berkenaan.
Walaupun meter paip sudah dipasang, air terawat kerap mengalir secara tidak konsisten — kadangkala hanya setiap dua hari. Apabila paip kering, keluarga terpaksa bergantung kepada peniaga bot yang membawa air dari tanah besar.
“Satu dram RM20. Tahan dua hari. Seminggu saya habis RM60 hingga RM80 hanya untuk air,” kata nelayan Azlan Nimatai, yang menambah masalah itu menjejaskan pulau tersebut lebih dua dekad.

Ini menjadi beban besar bagi Azlan, yang meraih pendapatan antara RM10 hingga RM100 sehari bergantung keadaan cuaca.
Keadaan ini turut menjejaskan masa depan keluarganya. Tekanan kewangan memaksa anak-anaknya yang memerlukan tambang bot berbayar untuk ke sekolah berhenti belajar.
“Mereka berhenti di darjah enam dan darjah lima. Saya mahu mereka kembali ke sekolah, tapi dengan pendapatan kami begini, memang sukar,” katanya.
Calon PH janji bot percuma, bina sekolah
Masalah pendidikan di Pulau Gaya merupakan antara isu yang mahu diselesaikan calon Pakatan Harapan bagi Tanjong Aru, Chan Foong Hin.
Selepas melawat pulau itu, ahli parlimen Kota Kinabalu merangkap timbalan menteri pertanian persekutuan itu berjanji menyediakan perkhidmatan bot percuma untuk pelajar Sekolah Kebangsaan Pulau Gaya dan Sekolah Menengah Kebangsaan Pulau Gaya.
“Inisiatif ini bertujuan memastikan pelajar dapat bergerak dengan selamat, lancar dan tanpa kos tambahan,” katanya.
Chan — yang telah membuat sekurang-kurangnya tiga persinggahan kempen di pulau tersebut — turut mempertahankan kelulusan kerajaan persekutuan ke atas projek kompleks sekolah bersepadu bernilai RM260 juta untuk pulau itu.
Pembangunan baru ini akan menggantikan sekolah-sekolah atas air sedia ada yang kerap rosak akibat ribut dan hakisan pantai.
Ia akan menyediakan tiga puluh enam bilik darjah bagi setiap sekolah, selain dewan utama dan kemudahan sukan.
Chan kini berusaha merampas Tanjong Aru daripada penyandang dua penggal dan Naib Presiden Warisan, Junz Wong, dalam pertandingan sembilan penjuru.
Rakyat Sabah akan mengundi untuk memilih Adun mereka pada Sabtu.
[Baca berita asal]
