Wartawan veteran, Haresh Deol, berharap polis akan menangkap semua individu yang menyerangnya pada Selasa lalu bagi mendapatkan gambaran jelas tentang apa yang sebenarnya berlaku.
Ini susulan kenyataan Ketua Polis Kuala Lumpur, Fadil Marsus, bahawa suspek yang menyerang Haresh dipercayai telah tersalah sasaran.
“Saya ingin menyatakan bahawa saya yakin polis sedang menjalankan siasatan menyeluruh.
“Tetapi setakat ini hanya seorang suspek yang telah ditangkap, betul?
“Jadi, saya rasa untuk membuat sebarang kesimpulan, semua suspek yang terlibat perlu ditangkap,” katanya kepada Malaysiakini pagi ini.
Haresh diserang tiga individu pada petang Selasa lalu ketika sedang berjalan menuju ke keretanya di Bangsar.
Salah seorang suspek juga didakwa merakam serangan itu menggunakan telefonnya.
Terdapat spekulasi bahawa serangan terhadap Haresh, pengasas bersama portal berita dalam talian Twentytwo13, mungkin berkaitan dengan pendiriannya yang kritikal terhadap isu-isu tertentu, termasuk isu kewarganegaraan pemain warisan melibatkan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Pakar jenayah P Sundramoorthy dari Universiti Sains Malaysia (USM) juga menyuarakan kebimbangan mengenai insiden serangan itu dan menggesa pihak berkuasa supaya bersikap telus sepanjang proses siasatan, “terutamanya memandangkan kemungkinan penglibatan pihak berpengaruh.”
“Kepercayaan orang ramai bergantung kepada integriti siasatan, pengendalian bukti yang betul, serta komunikasi yang jelas daripada pihak berkuasa,” katanya dalam satu artikel yang disiarkan oleh TwentyTwo13.
Portal berita itu turut menerbitkan tangkap layar rakaman CCTV dan kronologi serangan terhadap Haresh secara terperinci.
Menurut huraian tersebut, dua daripada penyerang Haresh meletakkan motosikal mereka di luar sebuah bangunan di Bangsar Baru sebelum menghampiri Haresh, yang ketika itu sedang berjalan menuju ke keretanya.
Wartawan itu melarikan diri apabila berasakan sesuatu yang mencurigakan, manakala penyerang ketiga yang memakai kemeja-T putih memegang telefon seolah-olah sedang merakam kejadian sebelum dia bergerak ke arah Haresh dan melanggar bahunya dengan kuat.
“Haresh terjatuh ke tanah, sementara salah seorang daripada dua individu berpakaian hitam bergerak ke arahnya.
“Kedua-dua individu berpakaian hitam itu kemudian menghampiri Haresh, menumbuk dan menendangnya, manakala lelaki berbaju putih terus merakam.
“Salah seorang individu berpakaian hitam kelihatan brecakap-cakap dengan lelaki berbaju putih sebelum kedua-duanya meninggalkan lokasi,” menurut portal itu.
Polis telah menahan seorang lelaki yang disyaki terlibat dalam kejadian itu, dan dia dijangka akan didakwa di mahkamah Kuala Lumpur hari ini.
Motif peribadi
Semalam, Fadil dilapor berkata siasatan awal mendapati suspek tersalah orang dan menyangka mangsa menganggu isteri suspek.
"Kejadian ini dilihat bersifat peribadi dan suspek sebenarnya telah tersalah orang,” katanya kepada pemberita selepas satu acara di Kuala Lumpur.
Menurut Haresh, selepas penyerang menumbuk dan menendangnya berulang kali selama kira-kira satu minit, salah seorang daripada mereka didengar berkata “jangan kacau bini orang”.
Terkejut dengan kenyataan itu, wartawan tersebut berkata dia sempat membalas dengan menjerit, “bini siapa, isteri siapa” kepada lelaki itu yang kemudian melarikan diri dari tempat kejadian.
Haresh menafikan dia pernah mempunyai hubungan dengan isteri orang dan menegaskan dia telah berkahwin dan tidak mempunyai masa untuk perkara sedemikian.
“...dan isteri saya sentiasa bersama saya kerana dia juga merupakan pengarang pengurusan syarikat kami. Kami bekerja bersama.
“Saya seorang workaholic... jika ada yang ingin menuduh saya atas apa-apa, mereka boleh menuduh saya kerana saya workaholic,” katanya.
